AM

ISU MAT REMPIT BERAKSI DI LEBUH RAYA ANTARA TUMPUAN DEWAN RAKYAT HARI INI

11/12/2024 08:22 AM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Isu mengenai kumpulan mat rempit yang sering melakukan aksi berani di lebuh raya sehingga mengancam keselamatan pengguna lain menjadi antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Pang Hok Liong (PH-Labis) bertanya kepada Menteri Pengangkutan cara atau tindakan paling berkesan yang boleh diambil terhadap kumpulan itu dalam sesi soal jawab. 

RSN Rayer (PH-Jelutong) pula menyoal Menteri Perpaduan Negara sama ada kerajaan bercadang menggubal Akta Keharmonian Agama bagi mengatasi polemik berkaitan isu itu di negara ini.

Selain itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan kesediaan ekosistem bekalan tenaga awam dan swasta negara dalam membekalkan tenaga hijau untuk operasi pusat data di Malaysia.

Turut bertanyakan soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan langkah strategik jangka pendek, sederhana serta panjang bagi menangani kesan drastik terhadap industri sawit Malaysia susulan kenaikan cukai import 32 peratus oleh India dan pemotongan kadar levi eksport oleh Indonesia.

Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Keselamatan dalam Talian 2024, Rang Undang-Undang Pemegang Amanah (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Pemegang Amanah (Pemerbadanan) (Pindaan) 2024.

Selain itu, Rang Undang-Undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Pindaan) 2024; Rang Undang-Undang Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024; Rang Undang-Undang Perkongsian Data 2024 dan Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 35 hari dari 14 Okt hingga 12 Dis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan