AM

BANTUAN SUBSIDI FLYSISWA DINAIKKAN KEPADA RM400 - PM ANWAR 

12/12/2024 08:01 PM

SHAH ALAM, 12 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kadar inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan, FLYsiswa dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 seorang bermula 1 Jan depan.

Beliau berkata langkah itu merupakan antara ikhtiar kerajaan dalam meringankan beban mahasiswa dari Sabah, Sarawak dan Labuan yang berdepan isu tiket penerbangan yang agak tinggi apabila ingin pulang ke negeri masing-masing.

"Sebab itu kita bagi bantuan menerusi FLYsiswa dan untuk tahun hadapan, kita naik kepada RM400 daripada RM300 sebelum ini.

"Ini cara kita untuk tunjuk keprihatinan kerajaan ringankan sedikit beban anak-anak dari negeri yang terlibat," katanya ketika merasmikan Karnival  FLYsiswa dan Karnival Pengangkutan Siswa MADANI di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Diperkenal pada 2023, FLYsiswa ialah bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pelajar matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru di bawah Kementerian Pendidikan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Ia dilaksanakan melalui kaedah pemberian credit shell dengan syarikat penerbangan tempatan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi maksud pembelian tiket penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Inisiatif itu bertujuan mengurangkan beban kewangan mahasiswa yang ingin pulang ke kampung halaman terutama mereka yang tiada pilihan mod pengangkutan selain penerbangan.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata usaha meringankan beban kewangan itu bertujuan memastikan mahasiswa terbabit dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap pembelajaran masing-masing.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan meletakkan harapan tinggi kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk melakar masa depan negara yang lebih baik dengan belajar menerima setiap disiplin ilmu serta teknologi baharu demi kebaikan diri serta negara pada masa akan datang.

“Namun dalam masa melatih mereka menjadi pemimpin masa hadapan, anak-anak di universiti juga harus memimpin pemikiran rakyat Malaysia hari ini.

“Anak-anak mahasiswa mesti menjadi pemimpin yang miliki wibawa dengan tahu membezakan kebenaran di sebalik sesuatu perkara yang diperdebatkan ketika ini,” katanya.

Pada masa sama, Anwar mahu institusi pendidikan dan pimpinan akademik terus berusaha menguasai bidang baharu disiplin ilmu untuk menjamin graduan yang dihasilkan bermutu atau berkualiti tinggi.

Loke pula berkata sebanyak 70 peratus daripada 52,030 mahasiswa yang layak telah menebus baucar inisiatif FLYsiswa dan beliau menggesa mereka yang belum berbuat demikian supaya segera membuat tuntutan sebelum akhir bulan ini.

Beliau berkata bagi pelaksanaan inisiatif itu tahun depan, pihaknya akan segera mendapatkan data terkini daripada KPT untuk membolehkan mahasiswa menebus baucar itu seawal bulan Januari.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberikan peruntukan sebanyak RM48 juta bagi pelaksanaan inisiatif ini tahun hadapan yang kita yakin membolehkan pelajar terbabit merancang perjalanan pulang ke kampung,” katanya.

Mengenai karnival hari ini, Loke berkata seramai 4,158 mahasiswa menghadirinya termasuk bagi mendapatkan informasi berkaitan inisiatif FLYsiswa selain berpeluang memiliki 3,500 topi keledar percuma yang disediakan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan