JENAYAH & MAHKAMAH

ASEAN: Polis KL Buat Persiapan Rapi Jamin Keselamatan, Ketenteraman

24/01/2025 11:36 AM

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Polis Kuala Lumpur mengatur gerak lebih 9,000 pegawai dan anggota bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman semasa berlangsungnya pelbagai program serta mesyuarat sepanjang Kepengerusian ASEAN tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata sebanyak 186 mesyuarat dijangka diadakan di kawasan Polis Kuala Lumpur dalam bulan April, Mei dan Oktober nanti.

“Daripada jumlah itu, 21 mesyuarat akan diadakan di Putrajaya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) di sini hari ini.

Rusdi berkata menjadi tanggungjawab pihaknya untuk memastikan Kuala Lumpur dilihat dalam keadaan baik dan selamat supaya tidak menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai terutamanya pengunjung dan delegasi dari luar negara.

“Selain itu, kita akan memastikan mesyuarat yang diadakan di Kuala Lumpur berjalan dengan baik dan kelancaran trafik serta keselamatan kepada delegasi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pegawai dan anggota polis supaya sentiasa bersiap siaga demi memastikan keselamatan negara kekal terjamin dan tidak mudah “berlapang dada” dengan keamanan dan kedamaian sehingga leka tanpa persiapan dan pengukuhan penugasan.

“Kita perlu melengkapkan diri dengan pelbagai cabang kompetensi kepolisan moden,” katanya.

Malaysia secara rasmi mengambil peranan sebagai Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan