AM

Tanah Runtuh Miri: Bantuan Pakar Dibuat Jika Ada Keperluan - Uggah

29/01/2025 01:22 PM

KUCHING, 29 Jan (Bernama) -- Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bersedia membawa pakar dari Kuala Lumpur untuk membantu mengeluarkan kesemua mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di Miri awal pagi tadi.

Pengerusi jawatankuasa itu Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Timbalan Premier Sarawak bagaimanapun, berkata bantuan kepakaran itu hanya akan dibuat sekiranya terdapat keperluan.

“Sekarang, operasi untuk terus mencari (mangsa yang masih hilang) masih giat dilakukan dan kami sedang menilai keadaan. Jika terdapat keperluan, mungkin kita boleh meminta bantuan pakar dari Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri  Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Sarawak di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 2.85 pagi tadi, tiga mangsa masih belum dijumpai manakala dua mayat mangsa termasuk remaja lelaki berusia 17 tahun berjaya ditemukan setakat ini.

Kejadian berkenaan melibatkan dua rumah di Kampung Lereng Bukit yang terletak di lereng Bukit Kanada di bandar raya Miri.

Dalam perkembangan lain, Uggah berkata sebanyak 15 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini melibatkan bahagian Kuching, Serian dan Samarahan yang menempatkan mangsa banjir manakala PPS di Miri menempatkan mangsa tanah runtuh.

"Semua anggota peringkat bahagian dan daerah sekarang berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

"Nasihat saya kepada penduduk yang tinggal di kawasan yang kerap mengalami banjir untuk sentiasa bersedia dan apabila pihak JPBN mengarahkan untuk berpindah sila berbuat segera," katanya.

Beliau berkata JPBN serta agensi yang terlibat kini menggembleng tenaga untuk memindahkan mangsa banjir.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan