JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Tahan Dua Lelaki Disyaki Jual Semula Minyak Petrol Lelong Kepada Sindiket

29/01/2025 09:01 PM

KOTA BHARU, 29 Jan (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak petrol ke Thailand dengan penemuan pam minyak mini dalam sebuah stor di Kampung Kubang Jong, Pasir Mas pada Sabtu lepas.

Komander PGA Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata anggota PGA yang menjalankan Op Taring Delta 1 menahan dua lelaki masing-masing berusia 30 dan 34 tahun yang sedang mengisi minyak petrol di dalam tong dalam serbuan pukul 5 pagi.

Beliau berkata pemeriksaan di sekitar stor juga menemukan sebuah lori berisi tiga tong besar mengandungi minyak petrol milik sebuah syarikat yang mendapat lesen membeli petrol secara lelongan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Bahan api yang dirampas keseluruhan 5,700 liter, dengan nilai anggaran lebih RM11,700 dan kesemua hasil rampasan serta dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Ros Azhan berkata siasatan lanjut mendapati minyak petrol hasil lelongan itu akan dijual syarikat berkenaan kepada penyeludup dengan cara diisi ke dalam tong dan dibawa menggunakan kenderaan ke sempadan bagi tujuan penyeludupan.

“Ketika serbuan, pihak syarikat itu juga gagal mengemukakan sebarang lesen, resit atau invois berkaitan kuantiti minyak yang boleh disimpan dan dijual.

Sementara itu, Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata syarikat yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan itu boleh dibatalkan lesen dan jika disabitkan kesalahan, syarikat itu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan