JENAYAH & MAHKAMAH

Enam Ditahan Terlibat Sindiket Pengeluaran Wang Hasil Kegiatan Haram

31/01/2025 04:45 PM

SHAH ALAM, 31 Dis (Bernama) -- Enam individu termasuk seorang wanita warga Vietnam ditahan selepas dipercayai terlibat dengan sindiket pengeluaran wang tunai hasil daripada kegiatan penipuan melalui mesin pengeluaran automatik (ATM) di sekitar Lembah Klang, pada 26 Jan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata menerusi siasatan terhadap enam individu itu, kumpulan berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan lain dan mereka hanya berperanan untuk mengeluarkan wang daripada pelbagai bank menggunakan ATM sebelum diserahkan kepada sindiket berlainan.

Beliau berkata modus operandi digunakan ialah mereka akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan semua arahan untuk mengeluarkan wang akan disampaikan menerusi Telegram serta Whatsapp.

“Kumpulan ini kemudiannya akan menerima kad ATM daripada runner sindiket (berlainan) dan mereka akan mengeluarkan wang di mesin ATM seluruh Lembah Klang, dengan sasaran harian pengeluaran sebanyak RM200,000.

“Wang tunai (yang dikeluarkan) akan diserahkan kepada runner (ahli sindiket berlainan) untuk pelbagai tujuan termasuk bagi pembelian mata wang digital,” katanya dalam sidang media di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Hussein berkata dipercayai sindiket berkenaan mengeluarkan wang yang diperoleh daripada kegiatan haram dan akaun yang digunakan milik individu lain (keldai akaun).

“Untuk itu, sebanyak 122 akaun daripada pelbagai bank telah dibekukan. Polis juga sedang mengenal pasti siapa pemilik sebenar untuk setiap akaun,” katanya.

Hussein berkata kesemua individu berkenaan direman empat hari dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, polis turut menahan kumpulan penyeluk saku dikenali Geng Nguyen terdiri tiga warga Vietnam dan satu warga Jordan berusia 31 hingga 62 tahun, yang mencuri telefon pintar jenis iPhone di sebuah pusat beli belah di Serdang, pada 12 tengah hari 25 Jan.

Hussein berkata siasatan mendapati kesemua warga Vietnam yang bertindak sebagai penyelup saku itu aktif melakukan kegiatan berkenaan di sekitar Lembah Klang, selepas mula memasuki negara ini pada Disember tahun lepas.

Beliau berkata mereka dibantu lelaki Jordan berkenaan berperanan sebagai pemandu dalam melakukan jenayah dan pulang semula ke Vietnam untuk menjual iPhone yang telah dicuri, sebelum masuk semula ke dalam negara pada 17 Jan.

“Kumpulan itu telah mencuri 13 telefon bimbit dengan 12 daripadanya jenis iPhone dan semakan mendapati lapan kes kecurian direkodkan di Serdang, Petaling Jaya, Subang Jaya, Dang Wangi, Cheras dan Sentul, manakala bakinya masih dalam siasatan,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan