AM

Kesuma MADANI Sedia Pelbagai Kemudahan Sempena Thaipusam Selasa Ini

06/02/2025 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Program Kesuma MADANI dianjurkan buat kali kedua sempena Thaipusam Selasa ini, dengan menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengunjung di dua lokasi utama sambutan iaitu Batu Caves, Selangor dan George Town, Pulau Pinang.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata antara kemudahan disediakan ialah ruang rehat dan bilik penyusuan bayi, selain menambah bilangan sukarelawan Wira Kesuma yang terdiri daripada pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP), warga Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan orang awam.

Beliau berkata jumlah sukarelawan ditambah kepada 500 orang yang akan ditempatkan di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves dan Kuil Thannermalai Shree Balathandayuthapani, Pulau Pinang tahun ini bagi melancarkan perjalanan sambutan perayaan itu.

“Terdapat pertambahan 200 sukarelawan. Tahun ini, 300 sukarelawan akan bertugas di Batu Caves dan 200 lagi ke Pulau Pinang bagi membantu pengunjung khususnya golongan warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak serta wanita mengandung,” katanya pada sidang media khas Program Kesuma MADANI di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy.

Sim berkata KESUMA turut menyediakan perkhidmatan lain seperti saringan kesihatan percuma, kaunter khidmat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta rundingan pekerjaan, bermula dari 6 pagi hingga 6 petang pada hari terbabit.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru majikan dan pekerja untuk merujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja jika terdapat sebarang kekeliruan berkaitan pelepasan cuti umum Thaipusam selain menasihati majikan untuk mematuhi peruntukan yang terkandung dalam Akta Kerja.

Sementara itu, Saraswathy berkata program itu dapat membantu masyarakat India khususnya golongan belia untuk mendapatkan maklumat mengenai peluang pekerjaan dengan mudah, menerusi reruai Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), TalentCorp dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).

“Gologan wanita juga boleh mendapatkan maklumat mengenai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) daripada Perkeso,” katanya

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan KESUMA dalam menyebarluaskan kesedaran mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) kepada golongan remaja menerusi pemberian risalah di khemah Kesuma MADANI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan