AM

Pahang Komited Sokong PASFA Dalam Projek Tanaman, Ternakan

19/02/2025 09:12 PM

KUANTAN, 19 Feb (Bernama) -- Kerajaan Pahang akan memberi sokongan kepada Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) jika agensi itu mahu melaksanakan sebarang projek tanaman atau ternakan pada masa hadapan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini kerana PASFA didapati berkeupayaan untuk menjayakan projek tersebut dengan cemerlang, sekali gus mampu memberi faedah kepada peserta terlibat.

“Setahu saya PASFA tidak pernah gagal memberi dividen kepada pesertanya (dan) mereka menggunakan sumber termasuk tanah diberikan kerajaan negeri untuk (melaksanakan) penanaman atau ternakan dengan jayanya.

“Justeru, jika ada permohonan daripada PASFA seperti penanaman kelapa yang mempunyai permintaan tinggi, kerajaan negeri akan memberi pertimbangan sehabis baik kerana faedahnya boleh dinikmati ramai dan bukan individu,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Dividen Ladang Usahasama Integrasi Lembu dan Sawit PPRT Bukit Gayong kepada Peserta E-Kasih di sini hari ini.

Pada majlis itu, 500 peserta menerima dividen RM1,561 seorang dengan jumlah keseluruhan bayaran RM780,500.

Wan Rosdy berkata antara resipi kejayaan PASFA ialah pertubuhan itu mampu menguruskan projek dengan baik, tidak berlaku ketirisan dan fokus bagi mencapai matlamat.

“Mereka melakukan kajian, sebagai contoh menggunakan baja sesuai untuk sawit dan hal ini tidak dibuat secara semberono,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan