AM

Kompleks Ladang Ternakan Ayam Pedaging FELCRA Bantu Agenda Keterjaminan Makanan - Ahmad Zahid

26/02/2025 05:23 PM

ROMPIN, 26 Feb (Bernama) -- Kompleks Ladang Ternakan Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) berskala besar yang diusahakan FELCRA Berhad (FELCRA) di Tanjung Seratus, Kuala Rompin di sini dilihat menyumbang kepada peningkatan pengeluaran domestik, sekali gus membantu kestabilan bekalan makanan negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif seumpama itu akan terus membuka peluang ekonomi baharu, menambah baik taraf hidup komuniti setempat serta mengukuhkan lagi agenda keterjaminan makanan negara. 

Beliau berkata kerajaan MADANI sentiasa komited dalam memastikan setiap rakyat menikmati akses kepada makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat selain pengeluaran makanan mesti dibuat dalam negara bagi mengurangkan import. 

"Kalau sebelum ini FELCRA mengorak langkah besar dengan kejayaan dalam sektor ladang kelapa sawit, getah, dan padi bagi mengurangkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar, kali ini FELCRA terus membuka lembaran baharu melalui penglibatan dalam bidang ternakan ayam pedaging.

"Kompleks ini akan mengeluarkan kira-kira 1.5 juta ayam pedaging setiap tahun, hal ini tentunya akan dapat membantu keterjaminan makanan terutama dari segi bekalan ayam pedaging," katanya pada sidang media selepas merasmikan kompleks berkenaan di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi FELCRA Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub. 

Kompleks seluas 20.23 hektar itu telah beroperasi sepenuhnya pada bulan ini melibatkan 10 reban ternakan.

Setiap reban mampu menampung 30,000 ekor ayam dalam setiap pusingan dengan anggaran dapat mengeluarkan secara konsisten 1.5 juta ekor ayam setahun.

Projek mega berkenaan telah dibangunkan menggunakan peruntukan geran berjumlah RM60 juta di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau turut memaklumkan FELCRA akan memperluas agenda makanan negara melibatkan projek ternakan ayam pedaging (sistem tertutup) di dua lokasi lain iaitu Bagan Datuk, Perak dan Sungai Damak, Lipis.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata keterjaminan makanan memerlukan pendekatan “whole-of-nation” atau keseluruhan negara yang melibatkan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, dan setiap individu. 

Beliau berkata kerajaan akan terus giat berusaha melalui pembangunan indikator khusus untuk mengukur tahap keterjaminan, memperkasakan industri akuakultur, dan memperluas sektor ruminan negara.

Selain agenda keterjaminan makanan, beliau berkata pembangunan keusahawan dan industri halal antara fokus Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

"Terdapat lebih daripada 10 agensi di bawah KKDW, kami turut memberikan perhatian terhadap pembangunan keusahawan dan ini kita lakukan dengan 16 kementerian lain.

"Begitu juga untuk pengeluaran produk halal, hal ini menjadi agenda kita dan bekerjasama dengan kerajaan negeri terutama Pahang dan Perak untuk membangunkan kawasan industri produk halal," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan