KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Arena sukan negara berduka dengan berita bekas pemanah paralimpik Mejar Yuhaizam Yahya yang meninggal dunia semalam.
Berita sedih itu disahkan adik Allahyarham, Mohd Shahrizal ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Mohd Shahrizal berkata abangnya yang pernah mewakili negara di Sukan Paralimpik Rio 2016, menghembuskan nafas terakhir pada 10.40 malam selepas dimasukkan ke Hospital Taiping semalam.
“Pemergian Allahyarham amat mengejutkan semua terutama kami ahli keluarga terdekat. Abang meninggalkan seorang balu dan empat orang anak,” katanya yang tidak mendedahkan punca kematian.
Jenazah Yuhaizam, 53, disolatkan di Masjid Jamek Bukit Jana, Kamunting, Perak dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Changkat Larah & Batu 6, Kamunting, 11 pagi tadi.
Sementara itu, pemanah paralimpik negara, Mohd Zafi Mat Salleh yang pernah beraksi di Sukan Olimpik London 2012, terkejut dengan berita pemergian rakan seperjuangannya itu selain memberitahu beliau dan Allahyarham pernah berbincang untuk mengadakan perjumpaan semula bersama bekas atlet dan jurulatih.
“Saya mengenali Allahyarham sejak 2010 dan banyak kenangan kami berlatih dan beraksi bersama. Beliau (Yuhaizam) seorang yang berdisiplin dan mempunyai semangat juang tinggi, selain sering memberikan semangat kepada kawan-kawan. Beliau ibarat mentor untuk saya sendiri.
“Sekarang kami biasa berbalas mesej dan dalam perancangan untuk buat perjumpaan dengan bekas rakan sepasukan dan jurulatih yang berada di Kuala Lumpur. Jadi berita ini memang mengejutkan saya,” katanya.
Sebagai rekod, Yuhaizam merupakan bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terselamat dalam kejadian pesawat terhempas di Butterworth pada 2004, yang turut meragut nyawa dua rakan karibnya.
Dalam kejadian 5 Mac 2004, kira-kira 7.21 pagi, pesawat Nuri yang dipandu Yuhaizam terhempas di kawasan perumahan di Taman Udara, Permatang Tengah, Butterworth dan mengorbankan pembantu juruterbang, Kapten Dicky Rishi Chin, 27, dan Sarjan Zailani Ab Kadir, 37.
Yuhaizam mengalami antaranya kecederaan di bahagian tulang belakang dan terpaksa berkerusi roda akibat kemalangan ngeri itu.
Selain beraksi di Sukan Paralimpik, antara kejayaan Yuhaizam di pentas antarabangsa termasuk memenangi pingat emas dalam acara individu di Sukan Para ASEAN 2011 di Solo, Indonesia sebelum mengulangi pencapaian sama pada edisi 2015 di Singapura.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial