KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Seramai 2.65 juta atau 36.2 peratus daripada 7.33 juta ahli aktif formal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 18 hingga 55 tahun telah mencapai simpanan asas mengikut umur setakat 30 Okt, 2024, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Kementerian itu memaklumkan jumlah tersebut adalah perbandingan daripada 2.21 juta atau 30.4 peratus daripada 7.25 juta ahli aktif formal pada Disember 2022.
Katanya, ketidakcukupan simpanan persaraan adalah disebabkan beberapa faktor seperti struktur gaji yang rendah, umur yang layak melakukan pengeluaran penuh iaitu 55 tahun adalah tidak selaras dengan umur persaraan Malaysia.
“Tambahan pula, caruman yang tidak konsisten serta kadar celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia yang rendah menyebabkan kurang kesedaran terhadap kepentingan perancangan kewangan dan persaraan turut menyumbang kepada ketidakcukupan simpanan tersebut,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini.
MOF itu menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) mengenai unjuran persediaan rakyat Malaysia menghadapi kemampuan kewangan menjelang usia persaraan.
Menurut kementerian itu lagi, simpanan asas ialah jumlah simpanan dalam Akaun Persaraan yang ditetapkan KWSP bagi membolehkan ahli memperoleh simpanan sekurang-kurangnya RM240,000 pada umur 55 tahun.
Simpanas asas ini membolehkan ahli menggunakan jumlah minimum sebanyak RM1,000 setiap bulan pada tahun pertama persaraan, namun kesan gandaan dividen tahunan membolehkan nilai pengeluaran pendapatan persaraan bulanan bertambah dari tahun ke tahun.
“Kesan daripada gandaan dividen tahunan tersebut, jumlah pengeluaran bulanan dianggarkan boleh meningkat sehingga RM2,728 pada umur 75 tahun berdasarkan andaian jangkaan purata hayat penduduk Malaysia.
“Oleh itu, purata pengeluaran bulanan untuk keseluruhan tempoh dari 55 tahun sehingga 75 tahun (selama 20 tahun) dianggarkan sebanyak RM1,697 sebulan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial