AM > BERITA

PEMANGKU SULTAN JOHOR BERBESAR HATI KEWUJUDAN JOHOR BUSINESS SCHOOL DI UTHM

07/12/2024 06:22 PM

 BATU PAHAT, 7 Dis  (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menzahirkan rasa berbesar hati dengan kewujudan Johor Business School (JBS) di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Tunku Mahkota Ismail yang juga Canselor UTHM bertitah tujuan pusat pengajian berkenaan ditubuhkan untuk membangunkan modal insan berkualiti yang holistik sekali gus menjalinkan hubungan lestari antara komuniti setempat.

"Saya yakin JBS akan menjadi pemangkin dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dalam bidang pengurusan perniagaan, tetapi juga memiliki daya saing global untuk menerajui pembangunan ekonomi negeri ini.

"Dengan hala tuju itu, dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi, JBS akan menjadi mercu kecemerlangan dalam pembangunan pendidikan tinggi negeri ini sejajar dengan aspirasi Bangsa Johor kini, iaitu 'Maju Johor, Rakyat Sejahtera'.

"Saya menyeru kepada universiti agar terus meningkatkan produktiviti secara efisien dan komited dalam memastikan perancangan dan pelaksanaan misi dan visi universiti ini," titah baginda pada Majlis Konvokesyen UTHM Kali ke-24 di Dewan Sultan Ibrahim UTHM, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Johor yang juga Pro-Canselor UTHM Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM Datuk Seri Ibrahim Ahmad.

Tunku Mahkota Ismail dalam pada itu, turut menyeru UTHM agar terus komited memacu transformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke arah universiti teknousahawan bertaraf global demi pembangunan sejagat yang berlandaskan paradigma tauhid.

"Matlamatnya untuk melahirkan graduan yang kompeten, profesional dan berdaya saing dalam bidang berteknologi tinggi.

"Justeru, masyarakat dan sektor industri perlu menyokong institusi pengajian tinggi (IPT) melalui pelbagai sumbangan dan kerjasama yang erat antara IPT, industri dan masyarakat bagi menjadikan ekosistem pendidikan dinamik dapat dibentuk dengan baik.

"Sinergi akan memastikan graduan yang dihasilkan lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang sebenar," titah baginda.

Sebanyak 4,870 graduan pelbagai peringkat pengajian merangkumi ijazah doktor falsafah (123), sarjana (329), sarjana muda (3,492) dan diploma (926) menerima penganugerahan bersempena dengan Istiadat Konvokesyen UTHM ke-24.

Istiadat kali ini berlangsung selama enam hari bermula hari ini hingga 12 Dis.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan