AM > BERITA

LEBIH 24,000 PESAKIT DIRUJUK KE HOSPITAL SWASTA MELALUI INISIATIF HSOP - DR DZULKEFLY

11/12/2024 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Sebanyak 24,734 pesakit telah dirujuk ke hospital swasta setakat 30 Nov lepas berikutan pelaksanaan Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) pada Julai, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata jumlah itu melibatkan 1,027 pesakit nefrologi, kardiologi (7,899), kardiotorasik(344) dan radiologi (15,464) dari 40 hospital Kementerian Kesihatan (KKM) ke 91 hospital swasta seluruh negara.

"Dimulakan pada 18 Julai 2024, sejumlah RM144 juta telah diperuntukkan untuk inisiatif ini dan berdasarkan tinjauan awal ia dapat mengurangkan 75 peratus masa menunggu pesakit untuk pembedahan Arterio-Venous Fistula (AVF) iaitu daripada 16 minggu kepada empat minggu, prosedur MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) dan Ultrasound (20 minggu kepada 16 minggu) dan CT scan (imbasan Tomografi Berkomputer) (14 minggu kepada 12 minggu).

"Justeru kita berharap dapat terus meningkatkan kerjasama awam-swasta ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang cepat dan berkesan untuk rawatan diperlukan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew yang mohon penjelasan sama ada kerajaan bercadang untuk membeli perkhidmatan daripada hospital swasta terutamanya di bandar dan kawasan yang perkhidmatan pakar tidak tersedia di hospital awam.

Dr Dzulkefly berkata penyumberluaran melalui HSOP bertujuan mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan mekanisme pembayaran yang ditetapkan ialah berdasarkan konsep bayaran berpakej merangkumi prosedur, konsultasi, ubatan, rawatan susulan, dan penginapan pesakit.

Melalui program HSOP ini, beliau berkata KKM juga dapat mempengaruhi harga perkhidmatan swasta selari dengan konsep penjagaan kesihatan berasaskan nilai. 

Menjawab soalan tambahan daripada Robert sama ada kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan skim insurans kesihatan nasional seperti dicadangkan banyak pihak, Dr Dzukefly berkata perkara itu memerlukan penelitian teliti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan