AM > BERITA

SKOR INDEKS PEMBANGUNAN RAKYAT MALAYSIA TIDAK BERUBAH PADA 2023

11/12/2024 05:15 PM

PUTRAJAYA, 11 Dis (Bernama) -- Skor Indeks Pembangunan Rakyat Malaysia (MHDI) yang merupakan antara petunjuk bagi menganalisis status pembangunan sosioekonomi negara dan menggambarkan pembangunan manusia di sesebuah negara, kekal dengan skor 0.816 pada 2023.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidi berkata prestasi skor MHDI pada 2023 berada di tahap sangat tinggi.

Beliau berkata analisis mengikut indeks dimensi menunjukkan skor indeks tertinggi pada 2023 ialah berhubung Pendapatan Negara Kasar (PNK) dengan skor 0.872 diikuti oleh Indeks Jangka Hayat dengan skor 0.826 dan Indeks Pendidikan dengan skor 0.754.

"Kesemua indeks berada pada tahap pembangunan yang sangat tinggi kecuali Indeks Pendidikan di tahap pembangunan tinggi," katanya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) hari ini menerbitkan laporan MHDI bagi 2023, yang dibangunkan berdasarkan Laporan Indeks Pembangunan Manusia (IPM) daripada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia diukur berdasarkan tiga dimensi utama iaitu kehidupan yang panjang dan sihat; akses kepada pengetahuan; dan taraf hidup yang baik.

Terdapat empat kategori skor tahap pembangunan iaitu kategori pertama di bawah 0.550 (rendah), kategori kedua 0.550 hingga 0.699 (sederhana), kategori ketiga 0.700 hingga 0.799 (tinggi) dan kategori keempat 0.800 dan ke atas (sangat tinggi). Semakin tinggi nilai skor diperoleh, maka ia menggambarkan semakin baik tahap pembangunan rakyat.

Mohd Uzir berkata skor Indeks Jangka Hayat meningkat 0.003 mata indeks kepada 0.826 pada 2023 berbanding 0.823 pada 2022 disebabkan penurunan jumlah kematian berbanding 2021 dan 2022, yang menyaksikan berlakunya lebihan kematian semasa pandemik COVID-19.

Beliau berkata Skor Indeks Pendidikan bagaimanapun menurun sebanyak 0.003 mata indeks kepada 0.754 berbanding 0.757 pada tahun sebelumnya, dengan petunjuk jangkaan tahun persekolahan menyumbang kepada penurunan indeks tersebut.

Indeks PNK pula kekal pada 0.872 berikutan prestasi ekonomi yang memberangsangkan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 3.6 peratus.

Berkenaan prestasi MHDI mengikut negeri, Mohd Uzir berkata negeri dengan skor MHDI tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan skor 0.890.

Ia diikuti dengan Wilayah Persekutuan Labuan (0.843), Pulau Pinang (0.839), Selangor (0.837), Melaka (0.822), Negeri Sembilan (0.820), Sarawak (0.813) dan Pahang (0.801), yang masing-masing merekodkan skor MHDI pada tahap pembangunan sangat tinggi.

Tujuh negeri mencacatkan skor MHDI pada tahap pembangunan tinggi pula ialah Johor (0.796), Perak (0.790), Terengganu (0.782), Kedah (0.770), Perlis (0.770), Sabah (0.766 dan Kelantan (0.755).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan