AM > BERITA

KPJ HEALTHCARE RAIH TIGA ANUGERAH SUMBER MANUSIA

11/12/2024 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) melakar satu lagi kejayaan penting dalam kecemerlangan modal insan dengan meraih tiga anugerah berprestij yang mengukuhkan kedudukannya sebagai majikan terkemuka dalam industri penjagaan kesihatan Malaysia.

KPJ Healthcare dalam kenyataan memaklumkan kumpulan itu menerima Graduates’ Choice Award, the Human Resources (HR) Asia Best Companies to Work for di Anugerah HR Asia dan 24th Malaysia-International HR Awards 2024.

"Pengiktirafan ini menyerlahkan dedikasi KPJ Healthcare dalam membangunkan bakat, mencipta budaya tempat kerja yang positif dan memajukan amalan sumber manusia terbaik," menurut kenyataan itu.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan dalam kenyataan sama berkata anugerah itu merupakan pengiktirafan kukuh bagi komitmen KPJ Healthcare terhadap nilai bersama C.A.R.E - Komitmen, Akauntabiliti, Hormat dan Cemerlang.

Beliau berkata anugerah berkenaan turut mencerminkan dedikasi pekerjanya dalam memacu inovasi, menyampaikan penjagaan berkualiti tinggi dan komitmen untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang boleh mengembangkan bakat.

"Kami kekal fokus pada usaha menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan modal insan bagi menyokong misi kami dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia," katanya.

Chin berkata pada Graduates’ Choice Award 2025, KPJ Healthcare dinobatkan sebagai juara dalam kategori Penjagaan Kesihatan (Hospitaliti).

"Pengiktirafan ini, yang ditentukan oleh penuntut universiti di seluruh Malaysia, mencerminkan keupayaan kumpulan untuk menarik perhatian bakat muda serta penjajarannya dengan aspirasi generasi tenaga kerja yang baharu," katanya.

Selain itu, beliau berkata KPJ Healthcare juga berjaya disenaraikan sebagai satu daripada Syarikat Terbaik untuk Bekerja di Asia 2024 di HR Asia Award.

"Berdasarkan maklum balas langsung daripada pekerja, anugerah ini mengiktiraf kejayaan kumpulan dalam membina persekitaran kerja yang inklusif, menyokong dan memperkasa yang menjana kepuasan serta penglibatan pekerja yang tinggi. Pada 24th Malaysia-International HR Awards 2024, Hospital Pakar KPJ Klang dan Kajang dianugerahkan pingat Emas dalam kategori Majikan Pilihan (Sektor Swasta).

"Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Utara dan Pantai Timur Renuga Muniandy, turut mengharumkan nama KPJ Healthcare apabila menerima pengiktirafan Anugerah HR Champion yang berprestij atas kepimpinan cemerlang beliau dalam inovasi modal insan," katanya.

Menurut China, pencapaian berkenaan mengukuhkan lagi kedudukan KPJ Healthcare sebagai majikan pilihan yang dipercayai dan peneraju dalam pengurusan sumber manusia penjagaan kesihatan, selain terus menarik serta mengekalkan bakat terbaik, sekali gus memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang cemerlang di serata Malaysia.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan