AM > BERITA

PROGRAM JAMINAN KERJAYA PAHANG LAHIRKAN 6,273 ALUMNI, RAIH PENDAPATAN CECAH RM25,000

13/12/2024 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Program Jaminan Kerjaya yang dilaksanakan kerajaan Pahang sejak 2018 hingga kini berjaya melahirkan 6,273 alumni dan ada dalam kalangan mereka berjaya memperoleh pendapatan mencecah RM25,000.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata program itu telah mendapat tajaan RM62.16 juta dengan Yayasan Pahang menjadi penaja utama sepanjang ia dijalankan, diikuti Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), Yayasan Peneraju, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang, SD Guthrie Bhd serta pihak industri.

"Program Jaminan Kerjaya adalah satu daripada usaha kerajaan negeri Pahang untuk mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan belia. Program ini antara yang sangat efektif dan membantu mengurangkan peratusan kadar pengangguran khususnya di Pahang. 

"Program ini telah memberi peluang kepada golongan sasar iaitu belia, golongan asnaf, Orang Asli dan golongan rentan yang merupakan anak Pahang atau pemastautin,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Empowering De’ Tea-Logue bagi meraikan kejayaan alumni Program Jaminan Kerjaya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pada majlis itu, satu perjanjian kolaborasi turut ditandatangani antara YP Advanced Skills dan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd manakala memorandum perjanjian (MoA) ditandatangani antara YP Advanced Skills dan IMPAC.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi Lembaga Yayasan Pahang berkata kerajaan negeri akan memberi sokongan penuh kepada yayasan itu dan YP Advanced Skills dalam usaha membekal serta mengembangkan lagi tenaga mahir khususnya di negeri itu dan Malaysia amnya.

"Tahniah dan syabas diucapkan kepada Yayasan Pahang kerana berjaya merealisasikan harapan saya untuk menjadikan YP Advanced Skills sebagai sebuah agensi pekerjaan di negeri ini dengan wujudnya Get Job Portal yang berfungsi sebagai hab berpusat dan menjadi platform pekerjaan terulung serta dipercayai di Pahang.

"Semoga YP Advanced Skills terus melahirkan dan menghasilkan bakat berkualiti serta berkemahiran tinggi sekali gus membantu Pahang mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan bagi tahun mendatang," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM17.5 juta untuk mencipta peluang pekerjaan, dengan RM12.5 juta daripada jumlah itu diperuntukkan bagi Program Jaminan Kerjaya menerusi Yayasan Pahang.

Program Jaminan Kerjaya menawarkan tujuh sektor pembelajaran iaitu hospitaliti dan perkhidmatan; minyak, gas dan tenaga; pengangkutan dan logistik; teknologi maklumat dan digital; pembinaan dan kejuruteraan; pelancongan dan kejuruteraan serta program latihan pengurusan kerjaya antarabangsa.

Program itu turut mendapat kerjasama daripada rakan industri seperti East Academy, Barba Venture Sdn Bhd, Westport Malaysia Sdn Bhd, Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd, FGV Holdings Bhd, MUIP Hotel Sdn Bhd, Time Touch Marine dan TWI Technology (S.E.Asia) Sdn Bhd.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan