AM > BERITA

PM GESA INSTITUSI PENDIDIKAN MANFAATKAN PAMERAN SEJARAH DUNIA MELAYU-ISLAM

13/12/2024 12:45 AM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggesa institusi pendidikan dan universiti termasuk Universiti Malaya agar memanfaatkan pameran yang mengetengahkan pertukaran budaya bersejarah dan kaya dunia Melayu.

Beliau berkata gesaan ini turut ditujukan kepada Arkib Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Perpustakaan Negara Malaysia. 

Anwar berkata adalah penting untuk menyelami sejarah penceritaan di rantau ini terutama berkaitan penyebaran Islam yang menyumbang kepada pembentukan warisan Melayu-Islam yang dinamik termasuk kebudayaan dan keseniannya.

“Ini adalah pameran yang unik dan akan sentiasa diingat, bukan selalu anda mengadakan pameran sebegini dengan standard seperti ini di rantau ini, saya mengikut rapat perkembangan di rantau ini dan pameran ini amat luar biasa dari segi kandungan dan mesejnya,” kata beliau. 

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan beliau ketika melancarkan Pameran Samudera Berbicara:Pembentukan Dunia Melayu Islam di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Menurut kenyataan MKIM, pameran itu menelusuri bagaimana Kepulauan Melayu tampil sebagai hab perdagangan maritim dan pertukaran intelektual global yang mendorong pengembangan agama Islam sekali gus membentuk legasi warisan budaya serta artistik yang dinamik.

Pameran itu juga menonjolkan bagaimana hubungan maritim dunia Melayu mewujudkan avenue bagi penyebaran budaya dan inovasi artistik. 

“Tukang perak, pembuat batik dan juga jurugambar mendedahkan rantau ini sebagai persimpangan budaya. Globalisasi bahan, idea dan perbendaharaan kata artistik telah meninggalkan legasi yang bergema di seluruh dunia Melayu hari ini,” menurut kenyataan itu.

Dunia Melayu ini, yang terletak antara Laut China Selatan dan Lautan Hindi, sentiasa menjadi pusat perdagangan antarabangsa terutama ketika era Laluan Rempah.

Pameran bersejarah ini dibuka dari 13 Dis tahun ini hingga 15 Jun 2025. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan