KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Kementerian Ekonomi memaklumkan empat negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Wilayah Persekutuan Putrajaya telah merekodkan sifar miskin tegar berdasarkan data eKasih setakat 30 Nov 2024.
Menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara, kementerian itu memaklumkan usaha menoktahkan kemiskinan tegar telah menunjukkan kemajuan yang sangat memberangsangkan.
"Negeri-Negeri lain merekodkan penurunan insiden miskin tegar secara signifikan," menurut kementerian itu bagi menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berhubung usaha Kerajaan MADANI menoktahkan kemiskinan tegar.
Kementerian itu turut memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan miskin tegar dalam negara berkurangan kepada 2,191 ketua isi rumah setakat 30 Nov berbanding 91,789 yang dicatatkan pada 31 Dis 2023.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di tangga teratas (474) diikuti Kedah (341), Sabah (289), Johor (275), Pahang (174), Pulau Pinang (122), Selangor (112), Terengganu (103), Kelantan (99), Sarawak (91), Perak (62) dan Wilayah Persekutuan Labuan (49).
Menurut kementerian itu, usaha menoktahkan kemiskinan berdepan cabaran tersendiri yang menjadikan ia sedikit sukar antaranya insiden kemiskinan bersifat dinamik kerana isi rumah miskin bertukar ganti sepanjang masa.
"Dalam mempergiat usaha untuk membasmi kemiskinan, kerajaan telah dan sedang melaksanakan beberapa inisiatif jangka sederhana dan panjang selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial