AM > BERITA

Kerajaan Terus Perkukuh Pertahanan Negara, Perhebat Perolehan Aset

18/12/2024 11:17 AM

Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz dan Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Kerajaan MADANI terus berusaha meningkatkan kemampuan pertahanan negara terutama dalam memelihara kedaulatan sempadan maritim termasuk di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Laut China Selatan yang sedang dicabar “kuasa asing.”

Perolehan tiga kapal Littoral Mission Ship Batch II (LMSBII) buatan Turkiye dan meneruskan projek pembinaan lima kapal Littoral Combat Ship (LCS) bernilai RM11 bilion yang tertangguh sejak beberapa tahun lepas menjadi langkah konkrit untuk memastikan kedaulatan sempadan maritim negara sentiasa terpelihara.

Upacara “steel cutting” menandakan permulaan pembinaan kapal LMSBII berkeupayaan peluru berpandu antikapal dan sistem pertahanan udara telah berlangsung di Turkiye beberapa hari lepas dengan kapal pertama bakal diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 2027.

Pada Jun lepas, Kementerian Pertahanan menandatangani Surat Perjanjian (Letter of Agreement – LOA) dengan Secretariat of Defence Industries (SSB) Turkiye bagi perolehan LMSBII untuk TLDM.

LOA  perolehan tiga kapal LMSBII yang akan direka bentuk mengikut kapal korvet kelas-ADA sebagaimana dimiliki oleh Tentera Laut Turkiye ditandatangani Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin ketika beliau mengadakan lawatan kerja ke Türkiye. 

Ketiga-tiga kapal LMSBII itu akan dibina oleh syarikat Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM).

Selain perolehan tiga kapal LMSBII itu, usaha kerajaan meneruskan pembinaan lima kapal LCS yang tertangguh sejak beberapa tahun lepas juga menggambarkan kesungguhan kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan peningkatan keupayaan TLDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut kenyataan terbaru Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari di Dewan Rakyat baru-baru ini, status kemajuan semasa kapal LCS pertama negara “Maharaja Lela” hingga 25 Oktober lepas berada pada tahap 70.10 peratus.

“Berdasarkan perancangan perbatuan (milestones) terkandung dalam kontrak yang ditandatangani, fasa akhir pembinaan kapal LCS pertama akan dapat disiapkan pada hujung tahun ini sebelum ia menjalani ujian Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Trial (SAT) oleh TLDM untuk tempoh dua tahun.

“Bagi kapal LCS kedua, ia akan turun ke permukaan air pada 2025 sebelum menjalani ujian HAT dan SAT,” kata beliau tentang kapal LCS itu yang sedang dibina di limbungan kapal Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS).

Beberapa bulan lepas, Mohamed Khaled berkata mengikut perancangan kapal LCS yang pertama akan diserahkan kepada pihak TLDM pada Ogos 2026 diikuti empat kapal perang yang lain.

Kehadiran lima kapal LCS kelas-Maharaja Lela dalam armada TLDM yang setiap satunya memiliki berat keseluruhan melebihi 3,000 tan dan dilengkapi pelbagai sistem persenjataan termasuk peluru berpandu antikapal, sistem pertahanan udara serta torpedo bagi peperangan antikapal selam (ASW) akan mengukuhkan lagi pertahanan maritim negara terutama di Laut China Selatan. 

Kelima-lima kapal LCS milik TLDM  itu dipercayai akan dilengkapi peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) dibangunkan firma pertahanan Kongsberg dari Norway yang berkemampuan membedil sasaran laut sejauh lebih 180 kilometer. 

Bagi mengukuhkan lagi pertahanan negara, Kementerian Pertahanan juga sedang meninjau kemungkinan untuk memperoleh lebih 30 pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet terpakai milik Tentera Udara Kuwait (KAF) bagi menambah lapan F/A-18C/D yang dimiliki Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika ini.

Pada Oktober, Mohamed Khaled berlepas ke Kuwait untuk meninjau sendiri status terkini pesawat pejuang Hornet milik negara Timur Tengah itu.

Kerajaan Kuwait telah memberikan maklum balas positif tentang hasrat negara untuk memperoleh pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet milik KAF itu dan kedua-dua negara bersetuju menubuhkan jawatankuasa bagi memulakan rundingan mengenainya. 

Bagaimanapun, keputusan akhir tentang hasrat Malaysia untuk memiliki pesawat pejuang satu dan dua tempat duduk F/A-18C/D Hornet terpakai milik Kuwait itu bergantung kepada negara pembuat asal pesawat pejuang berkenaan yakni Amerika Syarikat (AS).

Sekiranya hasrat Malaysia untuk memiliki pesawat pejuang F/A-18C/D milik Kuwait itu menerima “lampu hijau” dari Washington maka bukan sahaja mengukuhkan pengawasan ruang udara negara tetapi maritim, memandangkan pesawat pejuang dibangunkan oleh Boeing (dahulu McDonnell Douglas) berkenaan memiliki “kepakaran” khusus bagi melakukan serangan maritim.

Dilengkapi peluru berpandu antikapal “Harpoon”, kehadiran pesawat pejuang F/A-18C/D itu bakal “mengerunkan” aset maritim musuh apabila ia melakukan rondaan di ruang udara negara terutama di kawasan perairan Laut China Selatan. 

Selain mengukuhkan pertahanan negara menerusi perolehan aset, Malaysia turut meningkatkan diplomasi pertahanan apabila menerima kunjungan (port call) beberapa kapal tentera laut asing di pelabuhan negara. 

Antaranya ialah kapal latihan milik People’s Liberation Army Navy (PLAN) Qi Jiguang dan JinggangShan serta Armada Pasifik Tentera Laut Russia yang melakukan “port call” di Pelabuhan Pulau Pinang.

Buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun, negara juga menerima kunjungan kapal frigat Tentera Laut Jerman FGS Baden-Wurttemberg dan kapal sokongan tempur FGS Frankfurt am Main yang berlabuh di Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang (PKCT) sempena Indo-Pacific Deployment 2024 (IPD24) pada Oktobe. 

Bulan lepas, kapal pengangkut pesawat Tentera Laut AS kelas-Nimitz, USS Abraham Lincoln (CVN 72) juga melakukan kunjungan ke negara ini selepas kali terakhir berbuat demikian 12 tahun lepas bagi mengeratkan hubungan pertahanan antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan