AM > BERITA

Sistem SEA-H2X Di Sarawak Dijangka Siap Suku Ketiga 2025

18/12/2024 01:46 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Sistem kabel internet dasar laut antarabangsa SouthEast Asia Hainan-Hong Kong Express Cable System (SEA-H2X) menghubungkan Sarawak terus kepada negara luar dengan kapasiti sehingga 160Tbps yang sedang dalam pelaksanaan, dijangka siap pada suku ketiga 2025.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata sistem itu disediakan oleh Irix Sdn Bhd (dahulunya PP Telecommunications Sdn Bhd, PPTel) yang turut menyediakan sistem kabel internet dasar laut antarabangsa iaitu Batam Sarawak Internet Cable System (BaSICS) dengan kapasiti sehingga 48Tbps yang telah siap pada 2022.

“Laluan kabel dasar laut ini tergolong dalam kategori rangkaian teras yang menghubungkan Sarawak kepada dunia luar seperti Hong Kong, China, Filipina, Thailand, Singapura dan Indonesia.

“Pada masa ini, kapasiti rangkaian sedia ada adalah mencukupi bagi menampung permintaan masa hadapan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai bilangan kabel internet dasar laut yang menghubungkan Sarawak terus kepada negara-negara lain, serta pelan tindakan untuk menambah bilangannya, memandangkan ia kunci kepada penubuhan pusat data dan industri berkaitan kecerdasan buatan (AI) di negeri itu.

Teo berkata syarikat Irix juga telah selesai membina Pusat Data dengan gred penilaian Tier-IV di Santubong pada 2022, yang berfungsi sebagai pusat data berprestasi tinggi.

Beliau berkata melalui Pusat Data gred Tier-IV itu, Sarawak bakal berpotensi menjadi hab data yang penting untuk pusat pemprosesan AI di Kepulauan Borneo dengan menawarkan perkhidmatan pusat data secara toleransi sifar peratus (0% tolerance).

“Selain itu, Sarawak juga telah dihubungkan dengan dua sistem kabel dasar laut domestik sedia ada iaitu Sistem Kabel Rakyat Malaysia (SKRM) oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) yang menghubungkan antara Mersing dan Kuching, Bintulu serta Miri dengan purata kapasiti semasa 9.5Tbps.

“Sementara sistem kabel East-West menghubungkan Mersing dan Kuching dilaksanakan oleh Sacofa Sdn Bhd dengan kapasiti semasa 600Gbps,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan