PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata Malaysia dan Turkmenistan meneruskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama melalui penubuhan suruhanjaya bersama.
Beliau berkata menteri luar kedua-dua negara akan melaksanakan inisiatif berkenaan pada awal tahun depan untuk mengukuhkan kerjasama mereka.
“Kita berdua komited untuk memastikan tahap kerjasama ini dipertingkatkan melalui penubuhan suruhanjaya bersama antara kedua-dua negara. Menteri luar akan meneruskan kerjasama ini pada awal tahun depan,” katanya pada sidang media di sini.
Anwar turut menzahirkan rasa terima kasih Malaysia atas sokongan berterusan Turkmenistan, khususnya dalam memudahkan operasi PETRONAS Carigali Sdn Bhd di negara Asia Tengah.
Perdana Menteri turut memuji Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedow atas visi pembangunan yang menyeluruh.
“Saya amat kagum dengan minat Presiden bukan sahaja dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara negara tetapi juga pandangannya yang menyeluruh tentang apa dimaksudkan dengan pembangunan termasuk dalam bidang kebudayaan, serta usaha beliau dalam mempromosikan keamanan antarabangsa yang kami sokong sepenuhnya,” kata Anwar.
Berdimuhamedow yang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, sebelum itu menghadiri majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini.
Sementara itu, dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin berkenaan menekankan kepentingan meningkatkan kerjasama dalam bidang pengangkutan, kebudayaan, pendidikan, pelancongan dan sukan yang akan menyumbang kepada memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan Turkmenistan.
Anwar dan Berdimuhamedow juga bersetuju bahawa dalam usaha menggalakkan hubungan dan pemahaman antara rakyat, program pertukaran antara institusi pengajian tinggi dan institut penyelidikan perlu diperkukuhkan lagi.
Kedua-dua pemimpin itu telah mengesahkan komitmen mereka untuk menggalakan kerjasama lebih mendalam dalam bidang pendidikan tinggi dengan mengalu-alukan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara universiti awam dan swasta kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin itu juga menyambut baik pemeteraian MoU dalam bidang pelancongan.
Mereka juga mengulangi bahawa cabaran antarabangsa termasuk isu Palestin, perlu diselesaikan melalui cara damai selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.
Anwar dan Berdimuhamedow menggesa akses tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan di wilayah Palestin dan menekankan kepentingan penyelesaian yang adil serta berkekalan bagi cabaran membawa keamanan dan kestabilan di rantau ini.
Perdagangan antara Malaysia dan Turkmenistan menunjukkan pertumbuhan ketara, dengan jumlah dagangan melonjak 74.8 peratus dari Januari hingga Oktober 2024.
Nilai perdagangan itu meningkat kepada RM63.28 juta (US$13.90) berbanding RM36.19 juta (US$7.91 juta) pada tempoh yang sama tahun lepas.
Pada 2023, Turkmenistan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah, dengan jumlah perdagangan bernilai RM48.62 juta (US$10.57 juta).
Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turkmenistan telah terjalin secara rasmi pada 1992.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial