AM > BERITA

Kerajaan Terbuka Adakan Libat Urus, Teliti Keperluan Perundangan Khusus Tangani Sharenting

19/12/2024 02:35 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Kerajaan terbuka untuk mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi meneliti keperluan perundangan khusus dalam menangani amalan sharenting.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata ia bagi memastikan kanak-kanak di negara ini tidak terdedah kepada risiko eksploitasi dan mendapat perlindungan privasi serta keselamatan.

“Setakat ini (Malaysia) tak ada satu rang undang-undang tentang sharenting tapi kami bersedia untuk buat sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, badan bukan kerajaan ataupun kementerian-kementerian seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tentang perkara ini.

“Sama ada kita perlu ada satu rang undang-undang khas tentang isu ini, kita perlu dapat persetujuan dan satu konsensus daripada semua pihak terlibat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu sesi temu bual eksklusif Bernama Radio yang membincangkan topik: Keselamatan Dalam Talian: Komitmen Kerajaan dan Peranan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Sharenting pada asasnya ialah gabungan dua perkataan Bahasa Inggeris iaitu sharing dan parenting manakala istilah sharenting merujuk kepada fenomena perkongsian foto serta video anak-anak selain maklumat pengenalan diri yang lain oleh ibu bapa menerusi akaun media sosial mereka sendiri.

Teo berkata bagi membendung amalan itu, kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sentiasa mengadakan program bagi meningkatkan kesedaran awam supaya orang ramai memahami risiko berkongsi secara berlebihan seterusnya mengamalkan tabiat dalam talian yang lebih selamat.

“Nasihat kami kepada semua golongan dewasa… jangan terlebih berkongsi. Bukan sahaja informasi tentang kanak-kanak tetapi juga informasi (peribadi) tentang diri sendiri, semua informasi ini akhirnya boleh digunakan oleh penjenayah,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan