AM > BERITA

Teruskan Ujian SPM Keputusan Sukar, Namun Catat Kehadiran Calon Yang Tinggi - Fadhlina

19/12/2024 03:57 PM

PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyifatkan pelajar yang menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri yang dilanda banjir baru-baru ini, berjiwa kental selepas kehadiran keseluruhan pelajar mencatatkan peratusan tinggi iaitu 97.49 peratus.

Beliau mengakui biarpun sukar membuat keputusan, peperiksaan itu diteruskan setelah mendengar laporan daripada pegawai serta mengambil kira semua faktor keselamatan.

“Hasilnya, peratusan kehadiran calon SPM bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu ini di tiga negeri paling terjejas mencapai 97.54 peratus di Kelantan, Terengganu (98.01 peratus) dan Kedah (97.94 peratus).

“Anak-anak kita sebenarnya lebih kental jiwa mereka, berbanding apa yang kita bayangkan. Saya tidak bersendirian dalam keputusan tersebut (untuk tidak tangguh), berulang kali sesi dan rundingan kita lakukan, saya juga bersama Exco Pendidikan Kelantan...sepanjang hari saya di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KPM di sini hari ini mengenai isu tersebut yang sebelum ini hangat diperkatakan dan menjadi polemik bagi beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan KPM itu.

Bagaimanapun, Fadhlina menegaskan keputusan meneruskan ujian lisan berkenaan bukan disebabkan KPM tiada perasaan empati terhadap calon SPM malah ketika lawatan pascabanjir ke Terengganu baru-baru ini beliau mendapat maklum balas positif daripada pelajar yang terjejas.

“Saya tanya apa perasaan, ada marah pada saya ke sebab teruskan peperiksaan. (Pelajar jawab), ‘takdok, takdok sebutir pun marah, tapi YB saya nak kongsi, saya naik bot empat jam seronok YB’. Inilah yang menunjukkan bahawa apa yang mereka lalui itu pertambahan kepada kematangan dan keselesaan mereka untuk berinteraksi dengan kita,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mempertahankan keputusan KPM dengan mengecam tindakan pembangkang yang membangkitkan isu peperiksaan SPM yang diputuskan untuk diteruskan walaupun ketika itu beberapa negeri dilanda banjir.

Anwar berkata isu berkenaan tidak sepatutnya timbul kerana kebajikan semua pelajar yang terlibat dalam peperiksaan telah diurus dengan baik dan tempat tinggal berasingan disediakan bagi memudahkan mereka membuat ulang kaji.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina turut menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga murid yang meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik sewaktu Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di sebuah sekolah agama di Serdang.

Walaupun insiden itu berlaku di luar fasiliti KPM, beliau berkata aspek keselamatan di sekolah perlu sentiasa dipertingkatkan. 

“Kita ambil pengajaran daripada insiden yang berlaku untuk memastikan semua premis sekolah KPM mesti selamat. Pemeriksaan keselamatan itu harus dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk elakkan kejadian sebegini berlaku," katanya. 

Semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut disyaki terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah di Serdang dan ketika ini kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut dengan siasatan lanjut berkaitan sedang dijalankan.

Fadhlina turut menzahirkan rasa dukacita terhadap kematian seorang penuntut wanita sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG) di Besut, Terengganu yang maut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis pada Rabu lepas.

“Rektor IPG telah mengesahkan bahawa mereka akan membuat lawatan dan kunjungan untuk penyerahan sumbangan serta bantuan psikososial kepada keluarga," katanya. 

Sebanyak 10 penuntut yang lain turut cedera dalam kemalangan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan