AM > BERITA

SHMMP Libat 14 Barang Sempena Krismas Mulai Isnin Ini

20/12/2024 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Krismas minggu depan melibatkan 14 jenis barangan di seluruh negara, akan berkuat kuasa mulai Isnin ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata tempoh pelaksanaan selama lima hari itu dikawal menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Barang yang terlibat adalah barangan keperluan utama semasa Krismas iaitu daging kambing biri-biri bertulang import, ayam tua hidup melibatkan Sarawak sahaja, kubis bulat import Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing, lobak merah dan tomato.

“Selain itu melibatkan cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar import, bawang kuning besar, ubi kentang import dari China, kepak ayam serta babi hidup di peringkat ladang sahaja, daging babi bahagian perut dan daging babi bahagian daging dan lemak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pengumuman SHMMP Sempena Krismas 2024 dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di UTC Sentul, Bandar Baru Sentul di sini, hari ini.

Armizan berkata usaha itu bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga terkawal dan mengelak berlaku kenaikan mendadak.

Beliau berkata barangan tersebut akan dilabelkan dengan tanda harga berwarna merah jambu untuk memudahkan pengguna mengenal pasti barangan di bawah SHMMP serta boleh disemak menerusi laman web KPDN www.kpdn.gov.my.

Selain itu, katanya pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan SHMMP.

Menurut Armizan KPDN juga memperkenalkan inisiatif baharu iaitu PJRM sempena sambutan perayaan bermula Krismas ini dengan 670 siri program di seluruh negara.

Sementara itu, beliau memaklumkan sehingga semalam (19 Dis), secara keseluruhan sebanyak 11,240 siri PJRM diadakan di seluruh negara tahun ini dan KPDN menyasarkan 15,000 siri pada tahun depan.

“Kita dapati PJRM ini satu mekanisme yang amat membantu rakyat untuk mengurangkan beban kos barangan…dengan peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan 2025, PJRM akan terus dilaksanakan di semua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan