KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Sebarang usaha menanam bibit dan gejala memicu pertentangan kaum di negara ini mesti dielakkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini sempena Hari Krismas yang bakal disambut penganut agama Kristian esok, Anwar berkata semua rakyat Malaysia saling memerlukan dan melengkapi, terutamanya dalam usaha membina identiti negara bangsa yang berjaya dan berketerampilan.
Beliau berkata Malaysia tidak seharusnya gagal dan dilumpuhkan hanya kerana kepentingan beberapa kelompok.
“… malah mesti dilonjak nilai dan prinsip keadilan sejagat agar menyemangati hasrat dan harapan besar tokoh dan pendiri bangsa yang mahukan negara ini di baris depan menjulang masa depan dan maruah bangsa.
“Sering saya tekankan betapa perbedaan kaum dan budaya adalah resipi kemakmuran kepada mana-mana negara yang mendambakan kerukunan dan keamanan atas dasar dan prinsip hidup berdamping,” kata beliau.
Perdana Menteri dalam hantaran sama turut mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian.
“Acara dan perayaan Krismas tanggal 25 Dis saban tahun kembali menjelang dan menceriakan ramai penganut Kristian di serata dunia dan Malaysia tidak terkecuali.
“Selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian, dengan titipan agar luangkan masa yang secukupnya bersama yang tersayang di hari besar ini dan hidupkan kecintaan antara insan,” kata beliau.
Anwar berkata sebagai negara yang beragam dan rencam ras serta budaya, perayaan-perayaan besar seperti Krismas terus menjadi sumber kekuatan dan perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia.
Hari Krismas disambut pada 25 Dis setiap tahun oleh penganut Kristian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial