AM > BERITA

Program Jualan Tengah Malam Bakal Diperluas Ke Pantai Timur - Tourism Malaysia

25/12/2024 10:54 AM

KOTA BHARU, 25 Dis (Bernama) -- Tourism Malaysia bercadang memperluas Program Jualan Tengah Malam (Midnight Sale) menerusi lebih banyak pasar Raya di seluruh negeri Pantai Timur dalam usaha menjadikan program itu sebagai acara tahunan pelancongan sempena Kempen Malaysia Year End Sale (MYES).

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Mohd Azizul Arif Yahaya berkata secara keseluruhan, sebanyak tujuh program diadakan di seluruh negara dengan dua daripadanya di Kelantan dan Terengganu. 

Beliau berkata antara matlamat utama penganjuran bertujuan menggalakkan pelancong antarabangsa, khususnya yang bersempadan Malaysia seperti Singapura, Thailand dan Brunei mengambil peluang bukan sahaja berbelanja tetapi bermalam di Malaysia.

“Inisiatif ini memfokuskan kepada pelancong dari Singapura dan Thailand, menjadi harapan Tourism Malaysia pelancong dapat memanjangkan tempoh keberadaan di negara ini termasuk bermalam di hotel di sekitar Johor Bahru dan Kota Bharu. 

“Acara jualan bermula pada 10 malam hingga 12 tengah malam selama sehari ... sekali gus menyumbang kepada ekonomi tempatan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian program itu di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Datuk Kamarudin Md Noor yang merasmikan program berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain alam semula jadi, 'adventure', ekopelancongan, sukan dan lain-lain segmen membeli-belah menjadi komponen penting bagi industri pelancongan Malaysia. 

“Berdasarkan data Tourism Malaysia bermula Januari hingga September 2024, jumlah perbelanjaan pelancong mencecah hingga RM26.98 bilion iaitu peningkatan ketara sebanyak 63 peratus berbanding RM16.56 bilion untuk tempoh sama pada 2023.

“Segmen itu menjadi penyumbang utama pendapatan pelancongan negara iaitu mewakili 36.8 peratus daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM73.2 bilion yang direkodkan bagi tempoh ini,” katanya.

Angka itu diyakini terus meningkat bagi tahun mendatang sekali gus memperkukuh lagi perkembangan segmen berkenaan, lebih-lebih lagi selepas Tourism Malaysia menganjurkan semula kempen Malaysia Mega Sale 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan