AM > BERITA

Jadikan Rekod Patuh Selenggara Kenderaan Berat Syarat Wajib Permohonan Subsidi Diesel - Pensyarah

28/12/2024 11:05 AM

Oleh Muhammad Faiz Baharin dan Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Rekod pematuhan penyelenggaraan kenderaan secara berkala wajar dijadikan syarat wajib oleh kerajaan dalam mempertimbangkan pemohonan subsidi diesel syarikat kenderaan perdagangan.

Ketua Focus Group Manufacturing Technology Management Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Mohamed Ismail KP Pakir Mohamed berkata langkah itu, bertujuan bagi mendorong pemilik syarikat untuk sentiasa memastikan jentera mereka selamat digunakan di atas jalan raya.

“Perkara ini memerlukan komitmen dan sudah tiba masanya pemilik syarikat mengambil tanggungjawab memastikan kenderaan berat milik mereka selamat digunakan dan pastikan dalam pelan perniagaan, ada diperuntukkan untuk kos penyelenggaraan.

“Mereka boleh mencontohi pemilik syarikat kenderaan perdagangan di Jepun dengan wujudkan safety officer, yang berperanan memeriksa keadaan kenderaan sebelum bergerak keluar dan masuk daripada premis syarikat mahu pun tapak projek,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Pada 23 Dis, tujuh maut manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan MPV di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, berdekatan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, Melaka.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan itu berpunca daripada tayar lori treler tercabut dan bas persiaran terbabit dipercayai cuba mengelak daripada melanggarnya, namun terbabas lalu merempuh tiga kenderaan lain dari arah bertentangan.

Mohamed Ismail juga tidak menolak terdapat sesetengah pemilik syarikat kenderaan perdagangan mengambil ringan pematuhan aspek keselamatan, namun untuk mengatasinya kerajaan dicadang untuk memberi insentif seperti pelepasan cukai kepada syarikat yang mematuhinya dengan cemerlang.

Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan 1987 menetapkan setiap kenderaan perdagangan perlu menjalani pemeriksaan awalan dan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), mengikut ketetapan peraturan semasa bagi memastikan kenderaan adalah selamat untuk digunakan.

Pada 5 Dis, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dilapor berkata sepanjang 2022 hingga 2024, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan lebih 1.512 juta notis saman atas pelbagai kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan, dengan 7,259 kompaun berkaitan lebihan muatan.

Hasbi berkata sebanyak 5,559 audit telah dijalankan terhadap 3,088 syarikat sepanjang 2019 hingga 2024 yang menyaksikan 210 lesen pengendali dan 67 permit kenderaan digantung serta dua lesen pengendali dan 32 permit kenderaan dibatalkan.

Setakat ini, dilaporkan terdapat 12 insiden tayar kenderaan berat tercabut di seluruh negara sejak 2012 sehingga tahun ini.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Law Teik Hua pula mencadangkan kerajaan supaya mewajibkan setiap kenderaan perdagangan dilengkapi Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), selain di pasang alat yang dapat menghadkan kelajuan.

“Tayar antara komponen terpenting, ia bukan sahaja ada risiko tercabut malah boleh pecah dan menyebabkan kenderaan hilang kawalan kerana berpunca tekanan tayar yang tidak sesuai terutama ketika membawa muatan berat.

“Jadi dengan adanya TPMS dan kadar kelajuan terkawal, keadaan tayar bukan sahaja boleh dipantau secara terus daripada sistem ketika pemanduan, malah pemandu juga boleh menghentikan kenderaan dalam keadaan selamat,” katanya.

Law turut mencadangkan supaya arahan yang mewajibkan pemeriksaan dan penyelenggaraan berkala kenderaan berat enam bulan sekali, dilaksanakan mengikut kadar jarak pemanduan.

Sementara itu, bercakap kepada Bernama Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pemantauan terhadap kenderaan perdagangan akan terus dipertingkatkan oleh polis.

“Selain Op Lancar yang sedang berlangsung, pelbagai operasi lain turut dilaksanakan. Operasi terhadap kenderaan perdagangan akan dipertingkatkan bagi memberi kesedaran kepada semua pihak lebih-lebih lagi selepas berlakunya kemalangan meragut tujuh nyawa di Melaka baru-baru ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan