IPOH, 28 Dis (Bernama) -- Seramai 210 pelajar sekolah rendah dan menengah dari Perak berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori 'Most Chinese Orchestra Performers in a Christmas Festival'.
Persembahan itu diadakan di hadapan Dewan Bandaran Ipoh di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini, malam tadi.
Plak pengiktirafan MBOR disampaikan oleh wakilnya, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah kepada Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.
Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan dan Orkestra Cina Ipoh Kok Sing Yee, ketika ditemui pemberita, berkata latihan selama tiga hari telah dijalankan sebelum persembahan itu diadakan.
"Sebanyak 20 peralatan muzik tradisional Cina digunakan untuk persembahan tersebut, antaranya seruling, gendang, gong, dan banyak lagi," katanya.
Sementara itu, Rumaizi dalam ucapannya berkata pengiktirafan oleh MBOR itu dapat membantu bandar raya Ipoh mempromosikan sektor pelancongan dan membangunkan ekonomi tempatan.
"Pengiktirafan ini juga dilihat dapat menggalakkan generasi muda untuk menyertai aktiviti sihat serta mendatangkan faedah.
"Saya berharap warga kota Ipoh dan pertubuhan-pertubuhan dapat mengadakan atau menganjurkan program seumpama ini bagi menarik lebih ramai pelancong ke bandar raya Ipoh, di samping memberi peluang kepada warga Ipoh untuk memperkenalkan seni dan budaya ke peringkat antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial