AM > BERITA

TMM2026: Tourism Malaysia Optimis Capai Sasaran Kedatangan Lebih 35.6 Juta Pelancong

07/01/2025 07:19 PM

Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

SEPANG, 7 Jan (Bernama) -- Tourism Malaysia optimis kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) mampu mencapai sasaran kedatangan lebih 35.6 juta pelancong tahun depan sekali gus merancakkan sektor pelancongan negara.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy berkata kempen yang akan bermula pada 1 Jan 2026 itu, juga memberi peluang kepada Malaysia menonjolkan keunikan budaya, alam semula jadi, serta infrastruktur pelancongan sebagai tarikan utama.

“Kempen ini akan memacu kesiapsiagaan pemain industri pelancongan dari segi infrastruktur, pakej pelancongan, dan kemudahan lain untuk menarik pelancong bukan sahaja dari luar negara tetapi juga rakyat Malaysia sendiri,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran TMM2026 di sini semalam.

Manoharan berkata antara strategi utama menjayakan TMM2026 ialah memberi fokus kepada pasaran pelancong utama seperti China, India, Timur Tengah, dan ASEAN yang mempunyai rangkaian penerbangan terus ke Malaysia.

"Pada masa ini kita punyai lebih 3,100 penerbangan terus dari negara berkenaan ke Malaysia. Ini memberi kelebihan kepada kita untuk memasarkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan,” katanya.

Manoharan menjelaskan TMM2026 turut menumpukan kepada pelancongan berasaskan pengalaman, dengan penawaran pakej lebih menarik.

Beliau berkata ini termasuk menawarkan kepada pelancong peluang mendalami keunikan budaya dan kepelbagaian kaum di Malaysia seperti pengalaman kulinari dan interaksi bersama penduduk tempatan di inap desa.

Beliau berkata kempen itu juga akan menggalakkan rakyat Malaysia meneroka sendiri keindahan negara yang mungkin belum diketahui ramai.

"Kita mahu menggalakkan rakyat kita sendiri melawat dalam negara kerana banyak lagi tempat di negara kita ini belum lagi diterokai.

"Kerjasama dengan pengusaha pelancongan dan pemilik tempat tarikan akan diperkuatkan bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia melancong dalam negara,” katanya.

Manoharan berkata pihaknya percaya kempen tersebut akan memperkukuhkan jenama Malaysia Truly Asia, yang sangat sinonim dengan negara sejak diperkenalkan pada 1998.

“Jenama ini sangat berpengaruh. Apabila kita ke luar negara dan menyebut Malaysia, perkara pertama yang mereka sebut adalah Truly Asia.

"Untuk memperkukuhkan lagi jenama ini, kami memperkenalkan tema Surreal Experience yang menggambarkan pengalaman unik dan tidak terlupakan,” katanya.

Sementara itu, Manoharan berkata kerjasama erat antara semua pihak termasuk pemain industri pelancongan, syarikat penerbangan, hotel, dan media massa adalah kunci kepada kejayaan kempen TMM2026.

"Kita hendak menjadikan mereka ini sebagai rakan strategik kepada kita dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.

Kempen TMM2026 dilancarkan secara rasmi semalam dengan menampilkan logo baharu, maskot, lagu tema dan corak yang akan dipaparkan pada kapal terbang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa melancarkan kempen tersebut bekata ia diunjurkan menjana pendapatan sebanyak RM147.1 bilion dengan sasaran kedatangan lebih 35.6 juta pelancong. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan