AM > BERITA

Kempen ‘Not Penang You Know’ Perkukuh Industri Pelancongan Pulau Pinang

08/01/2025 05:11 PM

GEORGE TOWN, 8 Jan (Bernama) -- Pulau Pinang melalui Penang Global Tourism (PGT) giat mempromosikan negeri ini dalam memperkukuh lagi industri pelancongan melalui kempen ‘Not the Penang You Know’ (Pulau Pinang Yang Berbeza).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata kempen itu yang dilancarkan pada Isnin lepas di Kuala Lumpur mencerminkan transformasi Pulau Pinang sebagai destinasi lestari, inovatif dan berbagai.

Beliau berkata ia sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam sektor pelancongan di Asia Tenggara, seterusnya memperkukuh daya tarikan di peringkat antarabangsa yang dilihat langkah penting bersempena kepengerusian ASEAN 2025 dalam menjadikan Malaysia, khususnya Pulau Pinang sebagai destinasi utama pilihan pelancong.

“Kempen ini memberikan nafas baharu dan mempelbagaikan persepsi pelancongan dengan menononjolkan tarikan pelancongan kurang dikenali di Pulau Pinang dan pasaran khusus atau niche seperti pelancongan perubatan, pendidikan, perkahwinan dan pelayaran.

“Di samping itu, kita juga mahu memperkenalkan Pulau Pinang sebagai destinasi dinamik yang menggabungkan tradisi dengan inovasi, selain memberi penekanan kepada amalan mesra alam dalam semua sektor seterusnya menjadikan negeri ini sebagai destinasi utama bukan sahaja untuk pelancongan tetapi juga hab pelaburan dan pusat inovasi bertaraf dunia,” katanya kepada Bernama.

Wong berkata selain pasaran Asia Tenggara, kempen itu turut diperluas dengan menyasarkan pasaran di Asia, Timur Tengah serta Eropah dengan fokus utama adalah untuk meningkatkan kesalinghubungan melalui laluan penerbangan baharu dan kerjasama strategik.

Beliau berkata kempen yang berlangsung sehingga tahun depan itu diharap dapat memberikan sumbangan signifikan kepada hasil pelancongan Pulau Pinang dan Malaysia dengan sasaran 35.6 juta kedatangan pelancong di seluruh negara menjelang 2026 serta unjuran hasil pelancongan sebanyak RM147.1 bilion.

Pulau Pinang menawarkan beberapa tarikan baharu antaranya taman biopendarfluor pertama di dunia di Entopia Penang Butterfly Farm, Penang River Cruise, Muzium Sejarah Pulau Pinang selain Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) yang merangkumi dewan pameran seluas 76,000 kaki persegi dengan kemudahan bertaraf tinggi yang dijangka siap suku kedua tahun ini.

“Kita juga ada projek Kereta Kabel Bukit Penang yang telah dimulakan dan dijangka siap suku ketiga 2026. Festival Chap Goh Meh, Festival George Town, Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang, Festival Bon Odori, Regatta Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang, Festival Bukit Penang, dan Festival Kesusasteraan George Town pula mewarnai sorotan bagi Seni dan Budaya,” katanya.

Bagi pembangunan hospitaliti pula, beliau memaklumkan sebanyak 15 hotel baharu akan dibuka menjelang 2026 termasuk kategori mewah dan mesra alam.

Dari sudut ekonomi pula, Wong berkata kempen ‘Not Penang You Know’ dilihat berupaya merancakkan pelaburan dengan menjadi hab strategik untuk pasaran ASEAN dengan infrastruktur yang semakin berkembang dan tenaga kerja mahir selain membuka luas peluang ekonomi melalui industri teknologi, kreatif serta pembuatan yang berkembang pesat.

Selain itu, beliau berkata Pulau Pinang juga boleh menjadi destinasi acara MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan, Pameran) bertaraf dunia dengan tawaran kemudahan moden dan kebudayaan yang menarik untuk delegasi.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan