KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Organisasi media ASEAN digesa bekerja bersama-sama untuk membina dan menyebarkan naratif serantau yang menarik yang menonjolkan aspirasi, kekayaan budaya dan kepentingan strategik blok itu.
Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai ketika membuat gesaan itu, menekankan keperluan untuk ASEAN membebaskan diri daripada pergantungan kepada perspektif media Barat, dengan mengukuhkan kerjasama dalam kalangan media di rantau ini untuk menyampaikan naratif serantau yang bersatu dan tepat kepada dunia.
Beliau berkata dengan lebih 600 juta penduduk di rantau ini, ASEAN merupakan satu blok vital dengan kepelbagaian bahasa dan budaya, dan pada ketika bahasa Inggeris menjadi bahasa sepunya, keperluan untuk kerjasama yang lebih mendalam dalam kalangan media ASEAN tidak pernah menjadi sepenting ini.
“Dalam kes Laut China Selatan, yang merupakan sebahagian daripada kawasan dan tanahair kita, kita mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang rantau ini berbanding kebanyakan media Barat. Namun, kita terus bergantung pada naratif mereka, yang sering berusaha untuk menggambarkan kawasan itu sebagai zon konflik.
“Tetapi pendekatan ASEAN adalah berbeza. Kami berusaha untuk libat urus dan berkecuali. Kami tidak menyebelahi pihak dan kami komited untuk memastikan keamanan di rantau ini,” katanya kepada media selepas menjadi moderator pada satu sesi di persidangan ASEAN Economic Opinion Leaders Conference: Outlook for 2025, di sini hari ini.
Wong berkata selain itu, media ASEAN perlu menukarkan naratif tersebut daripada persepsi negatif yang sering dibawakan agensi media luar.
“Saya secara peribadi, ingin melihat rangkaian media ASEAN yang kita boleh bertukar-tukar kandungan sama ada dalam berita, video, TikTok atau Instagram.
“Dengan mempelbagaikan kandungan dan menonjolkan aspek ASEAN yang lebih ringan seperti pelancongan, makanan, gaya hidup dan muzik, media rantau ini boleh memupuk penglibatan dan minat yang lebih besar dalam kalangan khalayak global,” katanya.
Wong berkata penting bagi Malaysia untuk mempamerkan keupayaan mereka melaksanakan tugas ASEANnya dengan cara yang hebat dan berkesan, dan berharap semua syarikat media dan masyarakat tempatan akan memainkan peranan mereka dalam menjadikan negara ini memberi kesan untuk ASEAN.
Ahli panel untuk forum itu ialah Eksekutif Editor Pengurusan South China Morning Post Zuraidah Ibrahim dan wartawan veteran Thailand mengenai hal ehwal serantau Kavi Chongkittavorn.
Sementara itu, Zuraidah turut menggesa kerjasama yang lebih erat dalam kalangan organisasi media ASEAN dalam menangani isu-isu mendesak yang merentasi sempadan negara.
“Kita memerlukan sebuah bilik berita ASEAN, yang membolehkan kita bekerja merentasi sempadan untuk menyiasat perkara kritikal seperti migrasi, perubahan iklim, penipuan kewangan dan isu buruh. Cabaran ini memberi kesan kepada kita di seluruh rantau ini,” katanya.
Beliau menekankan keperluan untuk menyatukan sumber bagi membolehkan pelaporan yang lebih mendalam dalam kalangan agensi media di rantau ini, kerana ia boleh memberikan liputan yang lebih baik dan lebih komprehensif tentang isu yang paling penting kepada masyarakat ASEAN.
Sementara itu Kavi berkata ASEAN memerlukan wartawan yang boleh mencipta naratif yang benar-benar bergema dengan kepelbagaian dan kompleksiti rantau ini, menunjukkan kekurangan profesional media yang memahami sepenuhnya kepentingan ASEAN.
Beliau menekankan kepentingan mempunyai pendapat yang dipersonifikasikan dalam landskap media hari ini, yang sumber berita luaran seperti media sosial sering menenggelamkan perspektif tempatan.
“Wartawan ASEAN perlu menulis pandangan mereka sendiri mengenai isu-isu global, khususnya mengenai alam sekitar. Jangan takut...beranilah untuk menyuarakan pandangan anda. Jadi saya rasa institusi pendidikan dan wartawan kanan perlu bertanggungjawab menyediakan wartawan masa hadapan untuk mengemudi perkara ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial