BERUAS, 8 Jan (Bernama) -- Penduduk Kampung Kasi di sini yang terjejas banjir memohon kerajaan negeri serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) segera bertindak dengan menyelenggara Sungai Beruas yang didakwa semakin cetek hingga menjadi punca banjir di kampung itu.
Seorang penduduk, K. Paramasivam, 52, berkata masalah itu perlu ditangani segera memandangkan kampung berkenaan kini kerap dilanda banjir setiap kali hujan lebat sehingga mengganggu kehidupan mereka.
"Dalam dua minggu ini sahaja sudah dua kali rumah saya dimasuki air, kali ini pun sama dengan air naik agak tinggi daripada kebiasaan, malah lebih teruk apabila berlaku banjir ‘termenung’ yang kita sendiri tak tahu bila akan surut.
"Perkara ini bukan baharu, sudah jadi sejak 30 tahun lepas dan kami penduduk kampung berharap pihak berkaitan, terutama JPS lakukan penyelenggaraan secara lebih sistematik agar kejadian tidak berulang," katanya kepada Bernama hari ini.
Paramasivam antara mangsa banjir daripada enam keluarga yang terjejas selepas kampung itu dinaiki air melebihi paras lutut akibat hujan lebat sejak awal pagi tadi.
Seorang lagi penduduk, M. Indran, 49, berkata aliran air yang turut membawa pasir menyebabkan Sungai Beruas semakin cetek dan menjadi punca banjir sering berlaku di kampung itu.
"Parit buatan juga tidak diselenggarakan menyebabkan banyak tanah yang runtuh. Apabila air Sungai Beruas naik, parit buatan tidak dapat menampung jumlah air yang banyak.
"Jadi, kami mohon pihak berwajib supaya bantu kami menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan selama puluhan tahun, kebanyakan penduduk yang terjejas adalah dalam kalangan warga emas," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Baharu Azman Noh berkata keadaan banjir termenung bukan sahaja melibatkan Kampung Kasi, tetapi juga Kampung Padang Serai, Matang Acheh termasuk Pengkalan Damar.
Beliau berkata Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Beruas menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) mampu menyelesaikan masalah banjir termenung yang berlarutan sejak sekian lama.
"Amat malang bagi saya RTB Lembangan Sungai Beruas yang sedang dilaksanakan di kawasan pekan Beruas tidak melibatkan langsung Sungai Beruas sepanjang 22 kilometer dari Gunung Bubu hingga ke muara dekat pekan Pantai Remis.
"Sepatutnya Sungai Beruas yang harus diberi perhatian kerana di sinilah punca terjadinya banjir, tetapi Sungai Beruas itu sendiri tidak termasuk dalam kerja naik taraf sama ada kerja-kerja mendalamkan sungai, membina ban dan lain-lain lagi," katanya.
Azman berkata perkara itu telah dibawa kepada pengetahuan kementerian berkaitan dan berharap agar Kerajaan Persekutuan mengkaji semula keberkesanan RTB Lembangan Sungai Beruas di pekan Beruas.
"Saya yakin jika RTB itu siap kelak, banjir akan tetap berlaku di Kampung Kasi, Padang Serai, Pengkalan Damar dan Matang Acheh kerana kesemua kampung terkesan ini berpunca daripada Sungai Beruas yang tidak termasuk dalam perancangan RTB," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial