AM > BERITA

PM Anwar Lancar Inisiatif Kiosk Sentuhan Madani

09/01/2025 05:29 PM

PUTRAJAYA, 9 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Kiosk Sentuhan MADANI pertama di pusat beli-belah Alamanda di sini, yang merupakan inisiatif terbaharu bagi memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan.

Anwar tiba pada 2.45 petang bagi melancarkan kios itu yang menghimpunkan lebih 90 perkhidmatan kerajaan, disediakan melalui enam kios agensi kerajaan dan pihak swasta.

Kios tersebut melibatkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan, Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan MyDigital ID.

Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Kiosk Sentuhan MADANI ialah satu inisiatif di bawah Belanjawan 2025 yang diilhamkan Anwar untuk menambah baik perkhidmatan awam dan menyantuni keperluan masa kini rakyat menerusi kiosk digital agensi di kawasan tumpuan ramai seperti di pusat beli-belah dengan jangka masa operasi yang lebih panjang.

Mengulas mengenai kios tersebut, Fahmi berkata kerajaan berharap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu menjayakan inisiatif tersebut, dengan menyediakan tapak pemasangan di premis masing-masing.

“Saya difahamkan kosnya tidak terlalu tinggi dengan dengan kerjasama beberapa pihak, kita pasti lokasi seperti pusat beli-belah dan tempat orang ramai memang sesuai (untuk pemasangan),” kata Fahmi kepada media ketika ditemui media di sini. 

Beliau turut memaklumkan Kiosk Sentuhan MADANI yang kedua akan dipasang di Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur dan dijangka mula beroperasi pada penghujung Februari ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan