AM > BERITA

IWK Tambah 30 Lori Tangki Septik Tahun Ini

12/01/2025 10:41 PM

KLUANG, 12 Jan (Bernama) -- Sebanyak 30 lori tangki septik akan ditambah tahun ini untuk meningkatkan perkhidmatan pengosongan tangki menerusi Ops Sedut Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata tambahan lori itu bertujuan memudahkan proses pengosongan tangki septik di seluruh negara bagi mengurangkan risiko pencemaran terhadap sistem saliran awam.

“Pengguna yang ingin menggunakan perkhidmatan ini boleh menghubungi IWK untuk membuat temu janji dan lori-lori tersebut akan digerakkan dari semasa ke semasa bagi memastikan Ops Sedut berjalan lancar,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Projek Siap kepada kerajaan negeri Johor di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IWK Sdn Bhd, M. Narendran berkata pengosongan tangki septik adalah penting bagi mengelak enapcemar terkumpul menjadi penuh dan mengalir keluar dari tangki ke longkang, yang boleh memudaratkan alam sekitar.

"Kami sedang dalam proses pembelian kenderaan baharu untuk menggantikan kenderaan lama dan menambah fleet bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada pelanggan.

“Di Malaysia, terdapat kira-kira 1.35 juta pengguna tangki septik yang perlu dikosongkan secara berkala, iaitu sekurang-kurangnya sekali dalam dua tahun,” katanya.

Beliau berkata ini selaras dengan Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021 di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, yang mengkehendaki semua pemilik, pengurusan atau penghuni premis yang mempunyai tangki septik menjalankan nyahenap cemar secara berjadual.

Kegagalan mematuhi peraturan ini merupakan satu kesalahan di bawah subseksyen 65(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655], dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 jika disabitkan.

Di Daerah Kluang, Johor, terdapat kira-kira 67,009 pengguna tangki septik yang perlu menjalani proses nyahenap cemar secara berkala bagi memastikan tangki tidak penuh dan sistem saliran awam terjaga.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan