TUMPAT, 14 Jan (Bernama) -- Kedutaan China di Malaysia di bawah pimpinan Duta Ouyang Yujing mengulangi komitmennya untuk membantu rakyat Malaysia dengan menyediakan bantuan kepada penduduk di Kelantan dan Terengganu yang terjejas akibat banjir.
Ouyang berkata pihak kedutaan memantau rapat keadaan dan aktif menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Beliau berkata komitmen untuk membantu rakyat yang memerlukan, khususnya komuniti Muslim dilaksanakan melalui lawatan ke lokasi terjejas selain agihan sumbangan dan bekalan makanan semasa Ramadan.
“Pada lawatan ke Kelantan kali ini, kami memberikan tanggungjawab kepada Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan untuk mendapatkan barangan keperluan bagi disalurkan kepada keluarga yang terkesan akibat banjir. Inisiatif ini sebagai lambang hubungan erat dan keprihatinan kerajaan China,” kata beliau.
“Banjir yang melanda Kelantan, Terengganu dan beberapa kawasan lain sejak penghujung tahun lepas telah menjejaskan kehidupan puluhan ribu penduduk,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir di Surau Biru, Kampung Pulau Gorek di sini hari ini.
Ouyang berkata 300 keluarga di Kelantan yang terjejas telah menerima sumbangan berjumlah keseluruhan kira-kira RM50,000.
“Sumbangan yang disediakan pihak kedutaan dengan kerjasama PKMC dan Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kelantan itu termasuk barangan keperluan seperti beras, air mineral, minyak masak, tepung dan keperluan asas lain.
“Bantuan itu mencerminkan solidariti dan hubungan rapat antara rakyat Malaysia dan China terutama ketika krisis kemanusiaan seperti banjir,” katanya.
Sementara itu, Ouyang berkata hubungan dua hala Malaysia dan China terus diperkukuh, khususnya melalui projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
"Projek ECRL itu satu projek infrastruktur penting dan sudah 76 peratus siap," katanya.
ECRL di Terengganu dan Kelantan dijangka siap penghujung tahun ini, setahun lebih awal berbanding jadual asal iaitu 2026–2027.
"Perkembangan itu sangat menggalakkan dan kerjasama antara pekerja China dan rakan sejawat di Malaysia juga sangat baik," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial