AM > BERITA

Terengganu Perlu Lebih RM2.4 Bilion Atasi Masalah Hakisan Pantai

15/01/2025 12:19 PM

KUALA TERENGGANU, 15 Jan (Bernama) -- Terengganu memerlukan lebih RM2.4 bilion bagi membina benteng pemecah ombak di 34 lokasi pantai untuk mengatasi masalah hakisan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana) negeri Hanafiah Mat berkata jumlah itu anggaran kasar dengan mengambil kira kos pembinaan yang menelan belanja antara RM5 juta hingga RM10 juta untuk satu kilometer (km).

Bagaimanapun, beliau berkata kajian lanjut perlu dibuat bagi mendapatkan perbelanjaan sebenar kerana kos pembinaan bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk reka bentuk benteng, tahap hakisan dan bahan mentah.

"Kita memerlukan lebih RM2.4 bilion untuk melindungi kawasan pantai sepanjang 244 km yang berisiko hakisan terutama pada musim Monsun Timur Laut (MTL).

"Kos bergantung kepada beberapa faktor sama ada benteng konkrit, tetrapod atau gabion. Tahap hakisan juga menentukan perbelanjaan dengan lokasi terjejas teruk menelan kos lebih tinggi kerana memerlukan struktur lebih kukuh," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, Hanafiah berkata pihaknya mengharapkan kerajaan pusat dapat meluluskan segera peruntukan tambahan bagi menangani masalah hakisan pantai yang semakin teruk terutama di Kuala Nerus.

Selain itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya telah mengangkat permohonan sebanyak RM600,00 untuk kerja-kerja baik pulih jalan dan langkah pencegahan hakisan jangka pendek di Kampung Tanjung Batu Rakit, Kuala Nerus di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

"Kerja-kerja ini dijangka dimulakan dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang, tertakluk kelulusan MARRIS dan keadaan ombak.

"Kaedah penyelesaian yang dicadangkan adalah membina struktur rock revetment sepanjang 400 meter dengan lebar 1.5 meter dari bahu jalan sebagai pelindung pantai daripada hakisan," katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan