AM > BERITA

Jangan Pandang Rendah Teknologi Dan Bakat Yang Ada Di Malaysia, Kata Anwar

18/01/2025 07:31 AM

Daripada D. Arul Rajoo

LONDON, 18 Jan (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang berada di luar negara tidak seharusnya memandang rendah terhadap kemajuan teknologi, kepakaran dan bakat yang ada di tanah air, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pelabur global secara berterusan mengiktiraf penguasaan teknologi yang ada di negara kita, kerana ramai dalam kalangan mereka terus membuat pelaburan selepas bertahun-tahun menjalankan perniagaan mereka di Malaysia.

Mengambil contoh Infineon Technologies AG yang merupakan pengeluar semikonduktor terbesar Jerman, Anwar berkata mereka baru-baru ini melabur enam bilion euro kerana mereka menganggap Malaysia mempunyai tahap kepakaran, teknologi dan bakat selain di negara mereka.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan semasa Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra bersama lebih 700 diaspora Malaysia, di sini.

Beliau berkata di Malaysia terdapat kira-kira 140,000 pelajar luar negara di universiti tempatan kerana standard universiti di negara kita yang tinggi.

Perdana Menteri berkata malah, syarikat Malaysia seperti YTL, Eco World, Sime Darby dan TNB menunjukkan prestasi yang baik di United Kingdom dan berjaya memenangi projek melalui tender terbuka terutamanya disebabkan oleh teknologi dan tenaga kerja yang mereka miliki.

Anwar berkata pelajar yang belajar di UK atau negara lain boleh terus kekal dan bekerja di negara tempat mereka belajar, untuk menimba pengalaman dan memperoleh teknologi baharu.

“Malah JPA sedang memikirkan untuk membenarkan pelajar tajaan mereka untuk tinggal dan terus belajar jika mereka tidak diperlukan untuk segera pulang,” kata beliau.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan