AM > BERITA

Situasi Banjir Di Pahang Pulih Sepenuhnya, Jumlah Mangsa Di Sabah Meningkat

18/01/2025 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Situasi banjir di Pahang pulih sepenuhnya manakala jumlah mangsa di Sabah meningkat setakat 8 malam ini.

Di PAHANG, satu-satunya pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan Ulu Sungai, Raub yang menempatkan 32 mangsa daripada 13 keluarga ditutup 12 tengah hari tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Raub memaklumkan kesemua penduduk Kampung Ulu Sungai, Batu Malim yang terjejas sebelum ini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di SABAH meningkat malam ini kepada 1,054 mangsa daripada 355 keluarga, berbanding 862 mangsa daripada 282 keluarga pagi tadi.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan seramai 993 mangsa daripada 338 keluarga ditempatkan di tujuh PPS di Pitas, manakala Paitan kekal 61 mangsa daripada 17 keluarga berlindung di tiga PPS.

“17 mangsa daripada enam keluarga yang sebelum ini ditempatkan di sebuah PPS di Kota Marudu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Tiada hujan turun malam ini di daerah Pitas dan Paitan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan Sungai Kabatasan dan Sungai Bengkoka di Pitas telah melebihi paras bahaya pada bacaan pukul 1 tengah hari tadi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan