AM > BERITA

Guru Ingin Buat Kerja Sambilan Perlu Dapatkan Kebenaran - Fadhlina

22/01/2025 01:35 PM

KUALA NERUS, 22 Jan (Bernama) -- Guru yang ingin melakukan kerja sambilan perlu mendapatkan kebenaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terlebih dahulu, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata satu garis panduan yang jelas telah wujud ketika ini menyebut tentang perkara berkenaan. 

"Dan, apa sahaja keperluan (kerja sambilan) yang mereka buat tidak boleh mengganggu tugas hakiki mereka. Ia juga tidak boleh dilakukan semasa menjalankan tugas hakiki.

"Jadi, pesan saya berilah tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) sedia ada. Ini komitmen kita untuk tingkatkan kualiti pendidikan negara dan kita perlukan guru yang fokus dalam kelas, khususnya PdP," katanya selepas Majlis Ramah Mesra bersama Warga Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas lambakan pegawai perkhidmatan pendidikan yang menjalankan kerja sambilan. 

Sementara itu, beliau menafikan dakwaan sekiranya permohonan guru untuk bertukar hanya lebih cepat dan mudah apabila tular di media sosial. 

"Tidak betul. Kena ikut proses. Mana ada permohonan tidak ikut proses (tular). Keutamaan kita di KPM dalam perkara ini adalah keperluan pendidikan itu sendiri iaitu pertukaran tidak menjejaskan pendidikan. Kena tengok keseluruhan keperluan dan profesionalisme guru.

"Sebarang pertukaran kena ambil kira ekosistem pendidikan. Keutamaan kita masih lagi pada isu jarak jauh, keselamatan, kesihatan dan sebab-sebab lain yang kita pertimbangkan dalam konteks kebajikan guru.

“Setakat ini, pertukaran tertinggi adalah disebabkan pasangan jarak jauh," katanya ketika menjawab mengenai isu guru 'duka lara'. 

Fadhlina berkata permohonan pertukaran penempatan mengajar dibuka sepanjang tahun namun pertukaran hanya akan dibuat pada cuti sekolah sahaja.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan