AM > BERITA

Banjir Sarawak: 91 Mangsa Berlindung Di PPS Saratok

23/01/2025 09:24 PM

KUCHING, 23 Jan (Bernama) -- Keadaan banjir di daerah Saratok setakat petang ini masih kekal dengan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Rumah Dayak yang dibuka bagi menempatkan  sejumlah 91 mangsa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan, setakat 4 petang, sejumlah 21 keluarga daripada Rumah Tembawai Kapok yang dilanda banjir sejak Ahad masih  berlindung di PPS tersebut.

JPBN Sarawak turut memaklumkan 11 lokasi di seluruh negeri yang berisiko mengalami banjir turut dipantau dari semasa ke semasa oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Setakat ini, trend air di bahagian Kuching menunjukkan penurunan manakala di daerah Selangau, Kanowit, Dalat dan Marudi menunjukkan peningkatan.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Sarawak  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memaklumkan menerima panggilan pada 11.12 pagi tadi untuk memindahkan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Ranggong Ulu Niah, Miri.

Menurut makluman itu sebanyak 14 orang guru telah terperangkap di sekolah itu, apabila laluan keluar ke jalan utama telah dilimpahi air akibat banjir kilat dan kesemua mereka telah selamat dipindahkan oleh pihak bomba menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan