AM > BERITA

Fokus Kuasai Ilmu, Kemahiran Untuk Perkukuh Negara Dalam Cabaran Global - Anwar

24/01/2025 03:43 PM

DENGKIL, 24 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu negara di bawah pucuk pimpinan beliau memberi penekanan yang lebih kepada penguasaan ilmu, kemahiran dan semangat untuk memperkukuh kekuatan dalaman sebagai langkah menghadapi cabaran dunia yang semakin mencabar dan penuh ketidaktentuan.

Anwar berkata perkara yang dapat dirumuskan hasil daripada lawatan kerja beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom, Belgium dan Switzerland dari 12 hingga 22 Jan lepas sangat memberi kesan kepada beliau.

“Satu hal yang sangat mengesankan … dunia sekarang, walaupun dengan pelbagai rencah dan rencam politik, tumpu soal ekonomi, peningkatan budaya ilmu, kemahiran, keterampilan, dan kecerdasan buatan (AI).

"Jadi, kita kena kembali mohon kepada rakyat bahawa kita hendak fokus dalam bidang itu,” kata beliau kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dengkil di sini hari ini.

Menurut Anwar, dasar-dasar Amerika Syarikat yang tidak menentu ketika ini menjadikan pembinaan kekuatan dalaman negara sesuatu yang mendesak dan asas.

Perdana Menteri berkata dalam keadaan dunia yang mencabar dan penuh persaingan ini, rakyat mesti digerakkan untuk memiliki semangat bagi mengangkat martabat negara dan bangsa.

Anwar turut menekankan kepentingan memperkukuh semula hubungan dalam ASEAN sebagai kekuatan serantau selain berusaha memastikan dasar-dasar negara dapat dijelaskan dengan tuntas kepada rakyat.

"Kekuatan dalaman itu bagi saya sangat mendesak, sangat asasi,"  kata beliau.

Lawatan rasmi Perdana Menteri baru-baru ini turut menyaksikan pelibatan Malaysia dalam perbincangan dan inisiatif antarabangsa yang memberi fokus kepada cabaran ekonomi, teknologi, dan geopolitik dunia.

Terdahulu, Anwar menikmati jamuan makan tengah hari sebelum berjalan kaki kira-kira 300 meter dari Anjung Dengkil ke Pusat Islam UiTM Kampus Dengkil untuk menunaikan solat Jumaat bersama para pelajar.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan