AM > BERITA

Sultan Pahang, Tengku Ampuan Zahir Ucapan Selamat Tahun Baharu Cina

28/01/2025 10:47 PM

KUANTAN, 28 Jan (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua di Pahang dan seluruh negara secara amnya.

Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar sikap saling hormat menghormati serta nikmat perpaduan dan keharmonian berbilang kaum di negara ini dapat terus dikekalkan.

“Baginda berdua juga berharap agar perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini iaitu Tahun Ular 2025 membawa kebahagiaan kepada mereka yang menyambutnya terutamanya bersama keluarga tersayang. Gong Xi Fa Cai,” menurut hantaran di Facebook Kesultanan Pahang malam ini.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina dan berkata kerajaan negeri sentiasa komited untuk memastikan kebajikan semua rakyat akan terus dibela tanpa mengira kaum atau agama demi kesejahteraan bersama.

“Di Pahang, perpaduan dan keharmonian antara pelbagai kaum menjadi asas kepada keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati hingga hari ini. 

“Saya percaya, dengan semangat saling memahami dan menghormati, kita mampu menghadapi segala cabaran dan terus maju sebagai sebuah negeri yang bersatu padu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan