AM > BERITA

Parlimen Malaysia, Qatar Sepakat Sokong Isu Palestin, Selaras Pendirian Di Pentas Antarabangsa

29/01/2025 12:44 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Parlimen Malaysia dan Qatar sepakat untuk terus menyokong isu Palestin, menyelaraskan pendirian bersama, serta memperkukuh kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa.

Dalam kenyataan hari ini, Parlimen Malaysia memaklumkan bahawa persepakatan itu dicapai ketika Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammad Abdulrahman Jassim Al Thani, di Doha, Qatar, semalam.

Menurut kenyataan itu, dalam pertemuan tersebut, Awang Bemee turut menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan Qatar dalam rundingan gencatan senjata di Gaza, Palestin, yang dianggap penting bagi memastikan keamanan berterusan di Timur Tengah.

"Yang Dipertua Dewan Negara juga telah menggariskan beberapa langkah untuk memperkukuh hubungan antara Parlimen kedua-dua negara, termasuk menggiatkan kerjasama dalam bidang pertukaran maklumat, amalan terbaik serta penyelarasan pendirian dalam isu-isu sejagat,” menurut kenyataan itu.

Awang Bemee yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Qatar bermula Ahad lepas hingga esok, turut menzahirkan harapan agar hubungan baik Malaysia dan Qatar terus diperkukuhkan melalui kerjasama ASEAN serta Majlis Kerjasama Negara-Negara Arab Teluk (AGCC), khususnya bersempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan dan Perdana Menteri Qatar atas kesudian menerima kunjungan delegasi Dewan Negara Malaysia, yang diyakini mampu mengeratkan hubungan Parlimen kedua-dua negara, sekali gus menyumbang kepada hubungan dua hala lebih mantap dan dinamik antara Kuala Lumpur dan Doha.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan