AM > BERITA

Mangsa Banjir Di Sarawak Menurun Pagi Ini

04/02/2025 10:51 AM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sarawak menurun kepada 9,039 orang yang ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam bahagian setakat pagi ini berbanding 9,314 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak memaklumkan daripada jumlah itu, 4,492 mangsa berlindung di sembilan PPS di bahagian Bintulu berbanding 4,727 orang dicatatkan malam tadi, manakala 1,525 orang lagi masih kekal di empat PPS di bahagian Serian.

Bahagian Miri pula merekodkan 1,406 mangsa berbanding 1,464 orang di 12 PPS manakala di bahagian Sibu melibatkan 828 mangsa berbanding 839 orang di lima PPS.

Di bahagian Samarahan, jumlah mangsa kekal 523 orang yang berlindung di empat PPS sementara di bahagian Mukah, jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 265 orang di tiga PPS berbanding 236 malam tadi.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 102 orang daripada 27 keluarga pagi ini berbanding 94 orang daripada 26 keluarga pada pukul 8 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan semua mangsa ditempatkan di sebuah PPS di Kinabatangan, satu-satunya daerah masih dilanda banjir di negeri berkenaan.

“Trend pemindahan di PPS di Kinabatangan pada pagi ini adalah kekal,” menurutnya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada pukul 5.45 pagi ini memaklumkan hujan berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Telupid, Beluran dan Sandakan di Sabah hingga esok.

MetMalaysia juga mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Sarawak meliputi Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Sabah pula melibatkan bahagian Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Kinabatangan) serta Kudat.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan