AM > BERITA

Johor, UTM Rancang Kerjasama Dengan Universiti UAE Perkasakan Pendidikan AI

08/02/2025 04:19 PM

JOHOR BAHRU, 8 Feb (Bernama) -- Kerajaan Johor merancang untuk bekerjasama dengan Mohamed Bin Zayed University of Artificial Intelligence, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam usaha memperkasakan bidang pendidikan kecerdasan buatan (AI) di negeri itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata usaha itu akan dilakukan bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang merupakan antara universiti diberi peranan penting dalam pendidikan AI negara. 

Beliau berkata usaha itu merupakan hasil perjumpaan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama pihak universiti berkenaan menerusi lawatan kerjanya ke Dubai baru-baru ini.

“Hasil perjumpaan Menteri Besar di Dubai itu memang sudah mempunyai rangka (perancangan), namun kita perlu ada satu persefahaman yang lebih teratur untuk memastikan universiti tersebut turun ke Johor membantu dalam pendidikan AI,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Microsoft AI TEACH di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di sini hari ini.

Justeru itu Aznan berkata delegasi kerajaan negeri dijangka akan mengadakan sesi lawatan ke universiti itu bagi perbincangan lebih lanjut berhubung usaha itu.

Sementara itu, Aznan berkata kerajaan negeri menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan menyasarkan untuk menyelesaikan pelaksanaan sistem sekolah satu sesi di seluruh negara dalam masa lima tahun.

Beliau berkata Johor bersedia melaksanakan sistem berkenaan kerana ketika ini terdapat 204 sekolah rendah dan menengah yang melaksanakan dua sesi iaitu pagi dan petang, manakala 990 sekolah pula melaksanakan sekolah sesi pagi.

“Kita melihat sistem sekolah satu sesi akan membantu pelajar lebih fokus dalam pembelajaran dan tidak meletihkan berbanding dua sesi. Ia juga membantu memudahkan ibu bapa dari segi pengurusan waktu mereka,” katanya.

Terdahulu, Aznan berkata seramai 249 peserta di Johor menerima manfaat program MCMC Microsoft AI TEACH yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran digital serta memperkasakan komuniti dengan teknologi AI.

Beliau berkata program dua hari yang berlangsung di tiga lokasi iaitu PIS, 42 Iskandar Puteri dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) negeri itu, selari dengan Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030 dalam menyediakan tenaga kerja terlatih termasuk sektor awam.

“Program melibatkan AI sangat ditekankan kerajaan Johor terutama dalam PPMJ, kerana penglibatan masyarakat dan agensi kerajaan tentang kefahaman tentang AI merupakan satu langkah yang baik,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan