PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Malaysia dan Turkiye telah mengambil satu langkah signifikan dalam kerjasama saintifik dan logistik dalam penyelidikan kawasan kutub dengan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, semalam.
MoU yang menandakan era baharu kerjasama dalam penyelidikan Antartika dan Artik itu telah ditandatangi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) Abd Shukor Jamaluddin dan Presiden Majlis Penyelidikan Saintifik dan Teknologi Turkiye, Pusat Penyelidikan Marmara (TUBITAK MAM), Institut Penyelidikan Kutub (KARE) Prof Orhan Aydin.
YPASM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pertukaran MoU itu telah disempurnakan Menteri Industri dan Teknologi Turkiye Mehmet Fatih Kacır dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, bagi pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), yang menyelia YPASM.
“Sebagai hasil langsung daripada MoU ini, seorang penyelidik Malaysia dibiayai Geran Penyelidikan YPASM, telah menyertai pasukan Ekspedisi Sains Antartika Kebangsaan Kesembilan Turkiye (TAE-IX), yang tiba di Antartika pada 8 Feb 2025.
Pasukan itu dijangka akan menamatkan misi mereka pada 12 Mac 2025, selepas melengkapkan penyelidikan mereka di stesen penyelidikan Turkiye di Pulau Horseshoe, Antartika,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan YPASM itu memaklumkan perkongsian strategik itu menunjukkan komitmen kedua-dua negara dalam memajukan penyelidikan saintifik di kawasan kutub, dengan mengiktiraf peranan penting rantau dalam memahami perubahan iklim global dan kelestarian alam sekitar.
Menurut kenyataan itu, MoU tersebut merangkumi bidang kerjasama seperti ekspedisi penyelidikan bersama, pertukaran akademik, penggunaan bersama kemudahan dan peralatan penyelidikan, termasuk akses ke Pangkalan Penyelidikan Saintifik Antartika Turkiye di Antartika, serta mempromosikan kesedaran saintifik melalui program pendidikan.
“MoU ini sejajar dengan visi Malaysia untuk mengukuhkan peranannya dalam penyelidikan kutub peringkat global sambil menyumbang kepada matlamat pembangunan mampan.
“Dengan kerjasama baharu ini, kedua-dua negara bersedia untuk mempertingkatkan keupayaan penyelidikan mereka dan memperluas impak dalam komuniti saintifik antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial