KUCHING, 12 Feb (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan akan terus menyalurkan subsidi bagi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sarawak dan Sabah susulan pengambilalihan operator perkhidmatan itu, MASwings Sdn Bhd, oleh kerajaan Sarawak.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata RAS ialah tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan komitmen ini diperkukuh menerusi memorandum persefahaman yang ditandatangani pada 27 Okt 2023.
"Kerajaan Persekutuan dan Sarawak telah menandatangani memorandum untuk menyatakan komitmen sekiranya kerajaan Sarawak mengambil alih MASwings, subsidi kewangan dan komitmen kewangan setiap tahun untuk perkhidmatan luar bandar akan diteruskan kepada syarikat penerbangan baharu," katanya.
Bercakap pada majlis menandatangani perjanjian jual beli MASwings antara kerajaan Sarawak dengan Malaysia Aviation Group (MAG) di sini hari ini, Loke berkata kerajaan pusat memperuntukkan RM209 juta bagi RAS di Sarawak dan Sabah tahun ini.
"Saya yakin pemilik baharu, kerajaan Sarawak, pasti akan menambah baik perkhidmatan RAS dan menyediakan hubungan udara yang lebih baik kepada penduduk luar bandar di Sarawak dan Sabah," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial