AM > BERITA

Lelaki Jatuh Bot Ditemui Lemas

15/02/2025 05:51 PM

JASIN, 15 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama tiga ahli keluarga terbalik di Loji Lanchang, Kampung Lanchang, Merlimau di sini pagi tadi, ditemukan lemas selepas empat jam pencarian dilakukan. 

Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farid Abu Bakar berkata mayat Muhammad Nur Fitri Abdul Razak, 21, ditemukan pada pukul 2.21 petang, kira-kira 50 meter dari lokasi terjatuh oleh anggota unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Melaka Tengah. 

“Arus air agak kuat dan pihak penyelam menjumpai mangsa dalam keadaan tersangkut di bawah benta atau akar pokok menjalar di dasar sungai. 

“Mangsa berjaya dibawa naik kira-kira pukul 2.40 petang selepas 20 minit ditemukan dan dihantar ke Hospital Jasin,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata seramai 22 orang anggota dari BPP Merlimau dan Jasin Bistari terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Rela. 

Sementara itu, polis mengesahkan tiga yang terselamat adalah abang mangsa Abdul Razak Abdullah, 44, dan isterinya Aziziah Hussain, 36, serta anak mereka Muhammad Nor Abdul Razak berusia 10 tahun dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Jasin.

Terdahulu, media melaporkan bot yang dinaiki mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik bersama tiga ahli keluarganya terbalik ketika menjala ikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan