AM > BERITA

Jangan Perbesar Isu Pakar Runding Sambilan Hospital Digantung Kerja - Zambry

15/02/2025 07:14 PM

LUMUT, 15 Feb (Bernama) -- Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta mana-mana pihak untuk tidak memperbesarkan isu berkaitan penggantungan kerja seorang pakar runding sambilan di sebuah hospital universiti pakar kanak-kanak, baru-baru ini.

Beliau berkata tidak wajar untuk kes itu diperbesarkan dengan pihak terbabit membuat tohmahan dan menyebarkan kenyataan tanpa memeriksa latar belakang perkara terbabit.

Zambry berkata setakat ini pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menerima laporan berkaitan perkara itu dan akan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak bertanggungjawab. 

“Ini (dakwaan itu) merupakan satu hal yang sangat serius bagi saya dan saya harap ia akan mendapat penjelasan kemudiannya apabila siasatan dilakukan. Saya difahamkan, apa yang dilakukan ketua jabatan berkenaan ialah menggantung sementara pakar itu, bukan membuang terus. 

“Apapun kita bergantung kepada siasatan penuh yang akan disampaikan kepada kita nanti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Program Pemindahan IImu (KTP) Program Keusahawanan Kelulut Masyarakat MADANI Pangkor di Kampung Tengah, Pulau Pangkor dekat sini hari ini.

Zambry berkata pihak universiti berkenaan telah menghantar laporan itu kepada pihaknya untuk diteliti sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Terdahulu, seorang pempengaruh media sosial menerusi laman X mempersoalkan tindakan pengarah hospital terbabit yang mengeluarkan arahan penggantungan kerja seorang pakar runding sambilan di hospital berkenaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan