KUANTAN, 18 Feb (Bernama) -- Pahang mengemukakan cadangan antaranya melibatkan aspek infrastruktur, industri halal dan bekalan air bagi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.
Beliau berkata kerajaan negeri memohon peruntukan bagi menaik taraf dan memperbaiki jaringan jalan raya yang dilihat penting untuk merangsang aktiviti ekonomi dan meningkatkan peluang pekerjaan.
“Pahang, negeri yang luas dan berpotensi. Justeru, kami melihat dalam RMK13 ini aspek jalan raya penting, supaya apabila ada rangkaian perhubungan baik, kita dapat membuka koridor baharu untuk pembangunan,” katanya.
Mohd Soffi yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus RMK13 oleh Kementerian Ekonomi bersama kerajaan negeri di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib.
Beliau berkata kerajaan negeri juga berhasrat untuk membangunkan hub industri halal di Gebeng di sini, yang akan memberikan tumpuan kepada pengeluaran pelbagai produk halal, termasuk makanan dan minuman, kosmetik serta farmaseutikal.
Mohd Soffi berkata industri itu antara sektor yang berkembang pesat di seluruh dunia, dan Pahang mempunyai potensi besar untuk memanfaatkan peluang berkenaan dengan sumber alam semula jadi serta lokasi yang strategik.
Selain itu, beliau berkata antara yang dicadangkan dalam RMK13 ialah projek pembangunan sumber air yang lebih cekap dan berkesan serta tebatan banjir.
“Kami memohon agar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan projek pembinaan empangan, sistem pengairan serta pemuliharaan kawasan tadahan air agar rakyat Pahang dapat menikmati bekalan air yang mencukupi dan berkualiti selain melaksanakan projek tebatan banjir,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang meluluskan projek bagi Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2025 di bawah RMK12 melibatkan 470 projek sambungan dengan kos RM28.9 billion selain peruntukan RM2.09 billion untuk 115 projek baharu.
Sementara itu, Hanifah dalam ucapannya berkata antara fokus utama pada RMK13 adalah untuk terus memperkukuhkan kesejahteraan rakyat yang menjadi asas kepada setiap perancangan pembangunan negara sejak dahulu.
“RMK13 akan memberi tumpuan kepada langkah praktikal dan efektif untuk mengurangkan beban rakyat, memastikan mereka menikmati kehidupan yang lebih baik dan berdaya saing, sekali gus bersedia menghadapi cabaran ekonomi yang semakin mencabar.
“RMK13 ini bukan hanya perancangan untuk lima tahun akan datang, tetapi juga meletakkan asas perancangan masa depan yang lebih panjang, menjangkau satu atau dua dekad berikutnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial